Monday, August 24, 2015
PR1MA Lancar Pembiayaan Inisiatif Baharu Kepada Bakal Pembeli Rumah
Perbadanan
Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) melancarkan inisiatif baharu yang
menawarkan akses kewangan lebih mudah kepada bakal pembeli untuk
memiliki rumah PR1MA.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata,
menerusi program bantuan pembelian rumah itu, PR1MA menawarkan tiga
inisiatif iaitu program menyewa sebelum memiliki atau Rent to Own (RTO),
pinjaman akhir sehingga 110 peratus dan program PR1MA Care.
Beliau berkata, inisiatif mesra pembeli itu akan memberi peluang
kepada lebih ramai rakyat golongan pertengahan yang berkelayakan untuk
memiliki rumah PR1MA tanpa perlu bimbang mengenai tahap kewangan
masing-masing.
“RTO adalah program pemilikan rumah tertangguh bagi bakal pembeli
yang memiliki kadar kredit yang lemah di mana mereka diberi pilihan
untuk menyewa selama 10 tahun dalam usaha untuk membina ekuiti deposit
yang diperlukan untuk membuat pinjaman bank.
“Terdapat dua jenis skim di bawah program RTO iaitu Basic RTO dan
Zero RTO, walau bagaimanapun pilihan menyertai program ini hanya
diberikan kepada bakal pembeli yang dipilih dalam proses pengundian
sebagai pilihan terakhir selepas permohonan bank mereka ditolak oleh
panel-panel bank PR1MA,” katanya dalam sidang akhbar pra pelancaran
program bantuan pemilikan rumah PR1MA di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Perbankan Global Kumpulan Maybank, Amirul Feisal Wan Zahir.
Menurut Abdul Mutalib, agenda PR1MA bukan sekadar untuk membina
rumah, tetapi juga ingin memperkasakan agenda pemilikan rumah dalam
kalangan rakyat yang berpendapatan pertengahan.
Mengulas lanjut katanya, bagi program pinjaman sehingga 110 peratus
pula, sebanyak enam institusi kewangan telah bekerjasama dengan PR1MA
untuk menawarkan pakej kewangan menarik kepada bakal pembeli.
Katanya, enam bank tersebut ialah Maybank, CIMB, Malaysia Building
Society Bhd. (MBSB), Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank
Islam.
“Pakej kewangan ini termasuk pembiayaan sehingga 110 peratus daripada
harga jual dan beli (SPA). Lebih menarik pakej ini ialah tiada bayaran
deposit diperlukan yang secara tidak langsung membuatkan proses
pembelian rumah lebih mudah dan praktikal.
“Bagi program PR1MA Care pula, pemilik atau pembeli rumah bakal
mendapat manfaat dalam bentuk perlindungan pasca pembelian, kadar
insurans menyeluruh yang lebih murah serta penjagaan kebajikan yang
komprehensif,” katanya.
Sementara bagi pendaftar umum, mereka dapat menikmati manfaat dalam
bentuk potongan harga dan promosi eksklusif dengan rakan niaga yang
mengambil bahagian di seluruh negara.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment