Monday, August 24, 2015
Bila Ahli Parlimen Pas Sendiri Berkata “Keluar Pas Bukan Bermakna Keluar Dari Islam”
KUALA LUMPUR : Perpecahan yang berlaku di dalam parti Pas
dek tertubuhnya Gerakan Harapan Baru semakin hari semakin nampak
keparahannya apabila beberapa pemimpin kawasan mula mengisytiharkan
keluar daripada parti tersebut.
Ini dapat dilihat dengan tindakan yang dilakukan oleh Pas kawasan
antaranya seperti Shah Alam, Klang, Kapar, Kota Raja, Kelana Jaya,
Gelang Patah dan beberapa kawasan lagi yang turut akan mengisytiharkan
keluar parti.
Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud yang
telah mengumumkan peletakan jawatan secara rasmi dan menyertai Gerakan
Harapan Baharu juga berkata tindakan meninggalkan Pas bukan bermakna
terkeluar daripada agama Islam.
Sehubungan itu, menurut pandangan ahli Majlis Syura Pertubuhan Jalur
Tiga (JATI), Kapten Dr. Shamsuddin Moner, kenyataan Ahli Parlimen Kota
Raja itu sebenarnya menunjukkan selama ini perjuangan yang sering dibawa
oleh parti Pas kononnya merekalah satu-satunya parti yang
memperjuangkan Islam di negara ini adalah tidak benar belaka.
Inilah hakikat yang selama ini disembunyikan oleh mereka, Islam bukan
hak milik parti Pas sahaja, tetapi hak milik semua orang Islam di
negara ini. Jelas mereka mempolitikkan agama untuk kepentingan mereka
sahaja, katanya kepada UMNO-Online.
“Jika dahulu mereka yang keluar Pas ini kononnya begitu mengagungkan
perjuangan negara Islam dan mahu menjalankan hukum hudud, tetapi
bukanlah sesuatu yang janggal seolah-olah ‘ada udang di sebalik batu’
apabila kini berjuang di landasan yang bersama-samanya golongan yang
menentang dasar tersebut.
“Tidakkah ini menunjukkan mereka berjuang di dalam parti Pas selama
ini hanya untuk dapatkan jawatan sahaja dan apabila kalah di dalam
pemilihan jawatan, lantas menubuhkan gerakan yang baharu dengan harapan
kembali mendapatkan pangkat dan kuasa.
“Tingkah laku mereka ini tidak ubah seperti ‘paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’,” ujarnya lagi.
Justeru itu, beliau melihat tindakan mereka ini adalah jelas bahawa
selama ini apa yang mereka perjuangkan kononnya atas nama Islam hanya
kosmetik sahaja.
“Dan adakah juga secara tidak langsung mereka memandang rendah kepada
keupayaan golongan ulamak mentadbir parti tersebut yang dilihat tidak
lagi progresif?
“Adakah mereka ingin buktikan bahawa perjuangan Pas sudah lagi tidak
relevan? Walhal parti itulah yang telah memberi mereka tempat dan
jawatan sebelum ini,” tambah Pengerusi Yayasan Ummah Prihatin Pahang itu
lagi.
Katanya lagi, apa yang dapat dilihat bahawa kemelut di dalam parti
Pas memuncak sebaik sahaja golongan yang dlihat ‘mesra’ dengan Dap dan
PKR, yang sanggup membelakangi dasar perjuangan parti kalah di dalam
pemilihan jawatankuasa pusat parti tersebut.
Dan adakah juga perpecahan yang berlaku di dalam Pas itu kini dek
kerana doa-doa mereka sebelum ini yang mendoakan kehancuran UMNO dan
Barisan Nasional (BN) kini kembali kepada mereka? Wallahu’alam, katanya..
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment