Monday, August 24, 2015
Rakyat M’sia Perlu Sehati Sejiwa Semarak Sambutan Bulan Kebangsaan – Yahya
KOTA KINABALU : Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri
Yahya Hussin mahu rakyat Malaysia menyemarakkan sambutan Bulan
Kebangsaan sepenuh hati dan mengetepikan perbezaan fahaman politik,
sesuai dengan tema hari kebangsaan tahun ini iaitu ‘sehati sejiwa’.
Beliau berkata, perbezaan ideologi politik, budaya dan agama bukan
penghalang kepada sambutan kemerdekaan yang lebih meriah kerana ‘kita
semua memiliki persamaan iaitu sebagai rakyat Malaysia’.
“Kenapa kita mesti bertengkar sepanjang masa?, Ini tidak perlu,
walaupun kita ada perbezaan dalam banyak perkara tetapi dalam meraikan
kemerdekaan ini, kita mesti ‘satu’ hati dan jiwa kerana kermerdekaan itu
hanya ‘satu’, kita tidak merdeka berulang kali, hanya sekali dan ini
perlu dipertahankan setiap saat,” katanya kepada pemberita selepas
menyempurnakan pelancaran Kembara Merdeka Jalur Gemilang peringkat
dearah Putatan 2015 di sini, hari ini.
Yahya berkata demikian sebagai megulas tindakan Ketua Menteri Pulau
Pinang Lim Guan Eng yang dikatakan cuba mempolitikkan sambutan
kemerdekaan apabila menggunakan tema yang berbeza.
Yahya turut menyelar tindakan Setiausaha Agung DAP itu sebagai tidak
sehati dan sejiwa dalam bersama-sama kerajaan untuk meraikan Hari
Kebangsaan.
Terdahulu dalam ucapannya, Yahya menyokong cadangan kerajaan untuk
melaksanakan standard antarabangsa bagi mengawal selia Internet.
Katanya, cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Abdul Razak itu penting bagi menangani serangan jahat dan
tohmahan fitnah yang dilemparkan kepada kerajaan sedia ada dan para
pemimpin, menerusi media sosial di negara ini.
Yahya berkata, meskipun kemerdekaan itu bererti bebas bergerak dan
bersuara namun perlu diingatkan bahawa kebebasan mesti ada hadnya.
“Jangan sesekali salah erti dan salah guna kebebasan itu supaya tidak
bercanggah dengan undang-undang negara. Kesemua kemudahan sosial
termasuk Facebook, Twitter dan Whatsapp tidak dinafikan banyak
memberikan kebaikan namun jika tidak terkawal boleh mendatangkan
keburukan seterusnya membahayakan negara dan rakyat,” katanya.
Beliau juga meminta, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) dan polis agar sentiasa memantau penggunaan media sosial dan
bertindak segera ke atas individu yang salah guna kemudahan itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment