Monday, August 24, 2015
Tak Benar Dakwaan Pihak Luar Campur Tangan Pengurusan PDRM – Noor Rashid
KUALA LUMPUR : Dakwaan kononnya ada pihak luar mencampuri
urusan pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah tidak benar, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.
Beliau berkata segala keputusan pentadbiran dibuat Ketua Polis
Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dibantu dirinya sendiri sebagai Timbalan
Ketua Polis Negara dan pengarah-pengarah.
“Tidak ada mana-mana pihak luar mencampuri pentadiran PDRM … kami
buat keputusan sendiri,” katanya selepas merasmikan Kursus
Jurulatih Sistem TEA (Taser Electro Shock Gun, Evidence.com dan Axon
Body Camera) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.
Noor Rashid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas
Timbalan Pengarah Cawangan Khas PDRM Datuk Abdul Hamid Bador yang
dilapor portal berita tempatan semalam sebagai berkata kononnya ada
pihak luar masuk campur dalam urusan institusi keselamatan negara.
Abdul Hamid pada Khamis lepas ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri
(JPM) sebagai Timbalan Pengarah Isu-Isu Keselamatan dan Transnasional
(SIS).
Terdahulu pada majlis berkenaan, Noor Rashid berkata setakat ini
sebanyak 5,275 pegawai dan anggota telah menyertai kursus Sistem TEA.
“Kita berharap kursus ini dapat memperkasakan lagi perkhidmatan PDRM ke arah memenuhi visi ‘World Class Policing’,” katanya.
Sebanyak 83 anggota akan menyertai kursus selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Simulasi Taktikal, Pulapol.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment