Monday, August 17, 2015
Sayap Parti Mampu Jadi Benteng UMNO Berdepan Ujian Getir – Shahrizat
16 Ogos 2015, Jasin : Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat
Abdul Jalil percaya jentera sayap parti termasuk Wanita UMNO yang
menjadi tulang belakang mampu menjadi benteng kepada parti dalam usaha
menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan yang melanda.
Berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri
UMNO Jasin beliau seterusnya menambah apa yang penting adalah semua
pihak bertenang dan bersatu padu menghadapi badai dan apa jua ujian yang
menimpa parti.
“Kita kena ingat…senario politik hari ini dan pilihan raya umum akan
datang lebih mencabar daripada pilihan raya umum ke-13 yang lalu. Kita
mesti bersatu padu untuk menghadapi ujian yang melanda kita hari ini.
Kita diuji segetir-getirnya.
“Insya Allah jika kita bertenang dan meletakkan kesatuan ujian dan
dugaan yang mendatang akan dapat kita atasi sebaik mungkin. Wanita UMNO
umpama kaum ibu…kena bertenang. Kalau ada ribut dan taufan yang melanda
rumah kita, takkan kita nak panik sama sekali dengan anak-anak kita.
Itulah perumpamaannya.
“Yakinlah..kalau kita bertenang apa yang melanda parti dapat kita selesaikan bersama-sama,” katanya.
Justeru beliau percaya jentera sayap yang menjadi benteng kepada
parti mampu menghadapi ujian yang ada hari ini sebaik mungkin demi
kelangsungan kekuatan parti.
Beliau
seterusnya mengingatkan agar pimpinan parti tidak menjadi pemimpin
bermusim sebaliknya sentiasa peka dan sentiasa turun padang bertemu
serta melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.
“Itulah penekanan kita dan itulah yang kita amalkan. Jentera di akar
umbi akan sentiasa bergerak untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab
terhadap rakyat. Marilah kita sama-sama bekerja kuat dan menjaga
kebajikan rakyat.
“Insya Allah jika itu yang dapat kita kekal serta tingkatkan parti akan terus mendapat kepercayaan rakyat kelak. Jangan banyak politicking sebaliknya sama-sama kukuhkan barisan untuk menguatkan parti,” ujarnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment