Saturday, August 22, 2015
#sehatisejiwa Tanamkan Jiwa Semangat Kekitaan, Tolak Anasir Luar Gugat Keharmonian
21 Ogos 2015, Kuala Lumpur : #sehatisejiwa dipilih sebagai tema bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun 2015 ini. Tema tersebut dipilih kerana ia mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini tanpa mengira di mana berada.
Sehubungan itu, menurut pandangan seorang pegawai atase pendidikan, Ustaz Khairi Jalalluddin, pemilihan tema #sehatisejiwa itu amat bertepatan bagi menanam semangat kekitaan cintakan negara di hati sanubari setiap rakyat.
Seterusnya beliau mencadangkan agar kempen-kempen yang menjurus kepada konsep sebegitu dilaksanakan dengan konsisten dan jika boleh sepanjang tahun dan bukan hanya apabila tiba bulan sambutan kemerdekaan sahaja.
“Apa yang penting adalah memberi penghayatan melalui pendidikan bermula dari peringkat rendah hinggalah ke peringkat dewasa, mengikut kesesuaian golongan yang berkaitan.
“Selain mengakui kewujudan kempen-kempen yang diadakan oleh kerajaan melalui agensi dan kementerian yang terbabit, penglibatan pihak swasta juga amat digalakkan kerana menyemai perasaan cintakan negara adalah menjadi hak semua.
“Ini kita dapat lihat usaha beberapa pihak yang membuat beberapa iklan dan cerita pendek yang berkaitan adalah tepat dan bersesuaian dengan peredaran zaman, tambahan pula masyarakat kini lebih tertarik dengan persembahan yang sebegitu,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Tetapi yang penting, ia perlulah mengikut acuan sendiri, mengikut norma-norma yang selari dengan kehendak perlembagaan dan bukan terikut acuan barat hingga tahap meminta bantuan dan sokongan daripada mereka, berselindung di sebalik nama pertubuhan bukan kerajaan, tegasnya yang kini bertugas di negara Timur Tengah.
“Kita perlulah menolak anasir-anasir yang boleh mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian negara.
“Sekiranya kita berada di dalam keadaan tidak bersatu hati, tiada kesefahaman sudah pasti negara akan mudah diresapi unsur-unsur negatif, akhirnya runtuh atas tindakan sendiri dan akibatnya yang rugi adalah kita sendiri.
“Telah terhidang di hadapan mata kita, pergolakan yang berlaku di beberapa buah negara luar seharusnya mampu menjadikan satu pengajaran kepada kita. Hakikatnya apa yang terjadi adalah kestabilan politik tidak dijamin, yang menyebabkan keadaan sosioekonomi rakyat tidak menentu,” katanya lagi.
Justeru itu, beliau berpendapat adalah menjadi tanggungjawab generasi sekarang untuk mewariskan negara kepada generasi akan datang dengan sebaik-baiknya dan seharusnya perasaan itu dirasai bersama oleh setiap warganegara bagi menggambarkan perasaan kasih dan sayang kepada negara.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment