Monday, August 24, 2015
Selepas Lebih Lapan Tahun Teraju Pulau Pinang, Dap Patut Berhenti Main Politik Jalanan
PULAU PINANG : Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau
Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata selepas lapan tahun
menerajui kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dap sepatutnya berhenti untuk
terus bermain politik jalanan.
Tegasnya
walaupun kerajaan negeri Pulau Pinang telah menarik balik penggunaan
tema ‘Bersih’ untuk tema sambutan hari kemerdekaan di negeri tersebut
dan menggunakan tema ‘Sehati Sejiwa’ yang menjadi tema rasmi di
peringkat Persekutuan, perkara berkenaan seharusnya tidak dijadikan
bahan politik sejak awal.
“Hanya setelah Jabatan-jabatan dan agensi-agensi Persekutuan,
termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat keputusan untuk tidak
menyertai perarakan sambutan yang dianjurkan oleh pihak Kerajaan Negeri
barulah mereka mahu menggunakan tema ‘Sehati Sejiwa’.
“Sambutan Hari Ulangtahun Kemerdekaan negara tidak seharusnya
dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Keputusan awal Kerajaan Negeri Pulau
Pinang untuk menggunakan ‘Bersih’ sebagai tema sambutannya adalah
berniat jahat dan berbaur politik murahan.
“Ini kerana gerakan BERSIH 4.0 juga turut merancang untuk mengadakan
demonstrasi di Kuala Lumpur semasa sambutan Hari Kemerdekaan,” ujarnya
dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online di sini.
Tambah beliau, sekiranya Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah sebuah
kerajaan yang bertanggungjawab, ia seharusnya menumpukan perhatian dalam
memupuk semangat cintakan negara dan perpaduan di kalangan rakyat,
bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat dan
bukannya sentiasa berpolitik mengapi-apikan pertembungan dan perbalahan
dengan kerajaan Persekutuan.
Tindakan tersebut tegasnya lagi amat merugikan dan menyusahkan rakyat Pulau Pinang itu sendiri.
“Sejak tahun sejak 2010, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menunjukkan
sikap tidak mahu sehaluan dan bersama Kerajaan Persekutuan dalam
menyambut hari ulang tahun Kemerdekaan negara dengan memilih untuk
menggunakan tema yang berbeza.
“Apakah terlalu sukar untuk Lim Guan Eng ‘Sehati Sejiwa’ bersama 30
juta orang rakyat Malaysia yang lain dalam menyambut hari kebangsaaan
negara kita ?,” soal beliau.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment