Tuesday, August 25, 2015

Semua Wakil Rakyat PAS Patut Letak Jawatan Kata Mat Sabu

Menjadikan alasan PAS bertanding atas tiket bersama pakatan pembangkang pada PRU 13, Mohamad Sabu menegaskan, semua ahli parlimen dan Adun parti itu patut meletak jawatan bukan wakil rakyat yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).

Mohamad yang kini Pengerusi GHB mempersoalkan kenapa yang menyertai GHB sahaja patut melepaskan jawatan kerana semua Adun dan ahli parlimen PAS yang menang dahulu bertanding atas tiket bersama Pakatan Rakyat

“Kenapa pula Ahli Parlimen GHB yang perlu letak jawatan? Mereka (PAS) sebenarnya yang perlu berbuat demikian kerana tidak lagi bersama pakatan pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran GHB peringkat negeri di sini malam tadi.

Dalam pada itu, bekas Timbalan Presiden PAS berkenaan terus mendakwa lebih ramai ahli PAS akan meninggalkan parti dalam masa terdekat dan menyertai GHB.

Baru-baru ini Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta wakil rakyat parti Islam itu mengosongkan kerusi mereka jika ingin menyertai parti baru yang bakal ditubuhkan GHB.

Hadi berkata mereka perlu berbuat demikian kerana telah melanggar sumpah bai’ah yang dibuat sebelum PRU13, dua tahun lalu.

“Terpulang kepada maruah mereka. Mereka membuat sumpah bai’ah sebagai wakil rakyat PAS.

“Mereka mengangkat sumpah, berjanji. Jadi, mereka sepatutnya meletak jawatan dan kosongkan kerusi,” kata Hadi.

Sementara itu, PAS Selangor hari ini mengumumkan dua jawatankuasa baru bagi menggantikan barisan pentadbiran yang meletakkan jawatan di kawasan Kota Raja dan Shah Alam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata sementara satu lagi jawatankuasa baru di kawasan Kelana Jaya akan diumumkan kemudian.

“Bagi memastikan urusan dan perjalanan pentadbiran berjalan lancar, Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor yang telah diberi mandat oleh PAS Pusat sebagai Jawatankuasa Tadbir Sementara.

“Sebagaimana yang diperuntukkan oleh Fasal 26 (9)(j) Perlembagaan PAS (Pindaan 2011) telah mengambil alih pentadbiran PAS kawasan-kawasan Kota Raja, Shah Alam dan Kelana Jaya.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Tadbir Sementara ini berkuasa untuk melaksanakan fungsi-fungsi dan tugas-tugas Jawatankuasa Kerja PAS kawasan sepertimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan PAS (Pindaan 2011),” katanya dalam satu sidang media, Isnin. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment