Tuesday, August 18, 2015

Setiap Masyarakat Harus Bersama Hayati Tema #sehatisejiwa Hari Kebangsaan 2015

18 Ogos 2015, Kuala Lumpur : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi,  YB Mohd Iskandar Jaafar melihat #sehatisejiwa yang dipilih sebagai tema bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini amat bertepatan dan perlu dihayati secara mendalam oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini.
Menurut beliau tema tersebut boleh memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan berlainan agama di negara ini bagi memastikan negara terus melangkah dan mengorak lebih jauh ke depan.
“Lebih-lebih lagi dalam situasi semasa negara hari ini saya melihat tema berkenaan amat bertepatan sekali. Cumanya dari segi penghayatan sejauh mana rakyat benar-benar menghayati tema tersebut bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk melihat rakyat dan negara berada dalam keadaan  stabil.
“Sesungguhnya marilah kita sama-sama menghayatinya kerana perpaduan tidak akan mampu dibentuk dan digarap sebaik mungkin jika tiadanya persefahaman dan tidak ada muafakat  melibatkan kaum, agama serta budaya.
malaysia-sehati-sejiwa-merdeka-semangat-jiwa-rakyat
“Apa lagi yang kita mahu harapkan kecuali apa yang kita ada hari ini menjadi lebih baik dan bukannya berundur ke belakang. Sama-samalah kita menjayakan tema sambutan hari kebangsaan dengan penuh jaya,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
#sehatisejiwa dipilih sebagai tema bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.  Menteri Komunikasi dan Multimedia sebelum ini Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata tema itu dipilih kerana ia mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini.
“Misalnya, gempa bumi di Sabah dan bencana alam seperti banjir besar yang berlaku di negeri-negeri Semenanjung baru-baru ini turut dirasai dan terkena tempiasnya oleh seluruh rakyat Malaysia.  katanya ketika berucap pada Majlis Prapelancaran Sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka.
Mengulas lebih lanjut Iskandar seterusnya menambah apa yang berlaku di dalam negara seperti gempa bumi di Sabah dan beberapa peristiwa lain turut dikongsi perasaan oleh segenap lapisan masyarakat.
Justeru katanya dengan tema berkenaan ianya membolehkan rakyat sama-sama  bersatu hati dan solidariti terhadap mereka yang ditimpa musibah.
“Amat penting untuk kita melihat usaha kerajaan ini bukan sahaja menyatukan seluruh rakyat tetapi lebih jauh daripada itu. Bukan sekadar berkongsi kejayaan tetapi berkongsi perasaaan dan akhirnya menyatukan semua lapisan rakyat. Itulah tema #sehatisejiwa,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment