Monday, August 17, 2015
Sisi Keji PKR Terdedah Dalam Kes Saman Khalid Ibrahim
Alhamdulillah kes saman mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memecat
keahliannya tahun kerana dituduh tidak amanah dapat diselesaikan dengan
rukun.
Khalid bersetuju menerima permohonan maaf bekas Setiausaha Agung PKR,
Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan juga PKR dan membatalkan saman yang
dikemukakannya terhadap parti itu.
Yang menang ialah Khalid. Beliau boleh sahaja memilih meneruskan saman
itu. Namun bagi beliau bukan menang perbicaraan dan memungut pampasan
daripada PKR yang dihajatinya. Lebih penting baginya ialah membersihkan
diri daripada fitnah PKR itu.
Kini PKR sudah mengaku bahawa apa yang dipertuduhkan terhadap Khalid
adalah tidak benar dan akur dalam mahkamah tidak akan mengulangi cercaan
terhadap Khalid.
Tindakan itu PKR ambil hanya kerana mahu menurunkan Khalid dari kerusi
Menteri Besar dan menggantikannya dengan presidennya, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail.
Sebaliknya, Khalid pula mengheret PKR ke mahkamah bukan kerana mahu
berpaut pada tampuk kuasa kerajaan Selangor tetapi mahu melangsaikan
komitmen yang dibuatnya untuk terus membangunkan Selangor.
Namun belum terlambat untuk beliau meneruskan azamnya itu kerana sikap
berlapang dadanya menerima permohonan maaf PKR itu kini membuka peluang
untuk beliau meneruskan perjuangan untuk rakyat.
"Mereka mengakui bahawa laporan tersebut telah dikeluarkan dan diedarkan
bagi menjelaskan mengapa saya perlu dilucutkan dari jawatan Menteri
Besar Selangor dan bukanlah satu bukti muktamad bahawa saya telah
melakukan kesalahan seperti fitnah yang disebut.
"Mereka turut menyatakan rasa kesal dan mengakui bahawa penyataan di
dalam laporan tersebut tidak sepatutnya diperkatakan serta memberi
akujanji tidak akan mengulangi tuduhan serta fitnah tersebut.
"Justeru setelah maruah saya ditebus dengan kenyataan maaf oleh PKR
lantas terbukti bahawa segala tohmahan yang dilemparkan ke atas saya
ternyata fitnah semata-mata maka saya kini boleh memberi tumpuan penuh
untuk melakukan usaha ini," ujarnya di laman Facebooknya.
Bertajuk 'Langkah Kajang, Langkah Kecundang', Khalid dalam kenyataan itu
menyifatkan strategi politik yang disusun PKR semata-mata mahu
menyingkirkan beliau akhirnya menyebabkan kepincangan hubungan di dalam
Pakatan Rakyat (PR).
Lantas sikap tidak adil dan tidak jujur parti KEADILAN yang menggunakan
fitnah sebagai pencapai maksud politiknya kini semakin jelas diteropong
rakyat.
PKR sanggup bersikap curang dengan membuat tuduhan dalam 91 mukasurat
untuk menjatuhkan menteri besar yang sebelum itu ditimang-timang sebagai
pemimpin contoh terbaik bagi parti itu sendiri.
Kecurangan itu dilakukan selaras cita-cita Ketua Umum PKR, Datuk Seri
Anwar Ibrahim mengukuhkan empayar politiknya dengan bertegas mahu
meletakkan isterinya, Wan Azizah sebagai menteri besar.
Pada mulanya apabila rencana politik Langkah Kajang ini dimaklumkan
padanya bahawa ADUN ketika itu, Lee Chin Cheh akan meletakkan jawatan
dan diganti oleh Anwar, Khalid bersetuju melaksanakannya.
Malah beliau sendiri turut hadir dalam sidang media mengumumkan Anwar
sebagai ganti Lee dan beliau juga tiada halangan melepaskan jawatan
Menteri Besarnya untuk diisi oleh Anwar.
Khalid ketika itu insaf akan tujuan Langkah Kajang itu demi kebaikan PKR
dan Pakatan Rakyat. Beliau juga percaya sebagai Menteri Besar Anwar
mampu memimpin pakatan pembangkang menawan Putrajaya.
Bagaimanapun apabila Anwar hilang kelayakan bertanding dalam pilihanraya
kecil Kajang, Khalid keberatan mengosongkan jawatannya. Ini kerana
beliau yakin Azizah tidak mempunyai keupayaan dan kaliber seperti Anwar.
Keengganan beliau memenuhi hasrat Anwar itu dibalas dengan penghebahan
PKR akan beberapa tuduhan yang cuba membuktikan sikap tidak amanahnya.
Lantas Khalid dipecat dari PKR.
Anwar dan PKR kemudian berkeras mahu Azizah mengisi kerusi Khalid. Di
peringkat itu, isu menteri besar bukan lagi menjadi masalah PKR tetapi
melingkar menjadi kekusutan politik membabitkan rakan kongsinya,
termasuk PAS.
PAS dengan tegas mengatakan tidak bersetuju dengan kemahuan PKR. Ia
bingkas mengisytiharkan keluhuran peribadi Khalid dan keberkesannya
sebagai menteri besar Selangor.
Ketegaran PKR itu turut menjejaskan kepentingan politik PAS pula. Dua
ADUNnya – Saari Sungib dan Hasnol Baharuddin -- bertindak melompat
memberi sokongan pada PKR.
Rentetan itu semakin lebarlah ‘retak yang menanti belah’ dalam Pakatan
Rakyat. DAP yang memang tidak selesa dengan PAS menyambar kesempatan
menyokong PKR dan mencatur gerakan mengenyahkan PAS dari Pakatan Rakyat.
"Langkah Kajang telah berjaya mengaibkan saya yang akhirnya menyebabkan
saya kehilangan jawatan. Namun, lebih malang lagi, strategi politik
yang tidak bermoral ini telah turut menyebabkan keretakan dalam
pemuafakatan antara parti komponen Pakatan Rakyat akibat sikap politik
retorik dan hipokrit.
"Akibatnya PAS – sebuah parti politik yang mempunyai kekuatan
'grassroots' dan tenaga mereka kongsi sepenuhnya pada setiap pilihanraya
– telah diketepikan dan dipecah-belahkan; bahkan pemimpin mereka turut
terpalit dan diaibkan," terangnya lagi.
Bukan itu sahaja, strategi politik ini juga akhirnya memberi kesan
kepada kepentingan rakyat, khasnya dalam isu penstrukturan semula air di
Selangor.
"Tanah Selangor diserahkan kembali kepada golongan 'rentier' yang hanya
mengaut laba atas angin, masalah sampah masih berleluasa serta halatuju
pentadbiran negeri yang masih kabur," kata Khalid menghuraikan kepedihan
politik yang dialaminya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam Jumaat lalu merekodkan Penghakiman Persetujuan
melalui kes Saman Fitnah yang difailkan Khalid terhadap Saifuddin dan
PKR.
Saman itu berhubung edaran fitnah yang mengaitkan mengapa Khalid perlu digugurkan sebagai Menteri Besar Selangor.
Sayugia diingat bahawa ini bukanlah pertama kali PKR mengamalkan politik fahaman Machiavelli – matlamat menghalalkan cara.
Sebelum ini Naib Presiden PKR, Tian Chua juga pernah memohon maaf kerana
membuat tuduhan bahawa serangan bersenjata kaum Sulu ke atas Sabah
adalah sandiwara permainan Umno.
Demi menang politik, PKR ‘berhati kering’ dan sanggup mengorbankan serta
memfitnah sesiapa sahaja termasuk tokoh-tokohnya sendiri seperti
tindakannya terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment