Monday, August 17, 2015
SPRM Sambut Baik Pengumuman JKNMPP Oleh Najib
PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut
baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk
menubuhkan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik
(JKNMPP) bagi merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang
komprehensif dan inklusif.
Menurut kenyataan SPRM pada Sabtu, pelan tindakan pembiayaan politik
berintegriti yang hendak diwujudkan ini akan dilaksanakan dengan segera
bagi meningkatkan keyakinan bukan sahaja kepada anggota parti-parti
politik, malah rakyat dan generasi akan datang.
"Pengumuman ini seiring dengan saranan yang pernah dikemukakan oleh SPRM
menerusi panel-panel bebas sejak SPRM ditubuhkan pada tahun 2009.
"Dalam syor yang dikemukakan sebelum ini, SPRM telah mengesyorkan agar
Kerajaan mengkaji sumbangan dana politik supaya sumbangan dana kepada
parti politik hendaklah dimasukkan terus ke dalam akaun parti, dan
bukannya ke dalam akaun persendirian mana-mana pemegang amanah.
"Ini adalah bagi menjamin ketelusan terhadap mana-mana parti dan individu," jelas kenyataan itu.
Tambah SPRM, sesetengah masyarakat menilai sesebuah parti politik
berdasarkan persepsi yang tidak baik semata-mata kerana partiberkenaan
dilibatkan dengan sumbangan dana politik.
"Dalam hal ini, adalah penting bagi sesebuah parti politik untuk
sentiasa membina persepsi positif di kalangan masyarakat.Antara cara
terbaik untuk mencapai matlamat tersebut adalah dengan mengisytiharkan
apa jua punca kewangan sesebuah parti politik dan akaun parti atau
pertubuhan politik juga hendaklah boleh diaudit oleh juruaudit
bertauliah setiap tahun kewangan berakhir atau pada bila-bila masa bagi
tujuan pemantauan oleh pihak berkuasa".
Jelas SPRM, bagi dana politik yang ingin diberikan terus kepada individu
dalam parti tertentu, ia hendaklah mendapat kelulusan bertulis dari
ketua parti masing-masing dan dana politik berkenaan hendaklah tidak
mempunyai kaitan langsung dengan tugas rasmi kedua-dua individu yang
menerima dan yang menderma dana politik berkenaan.
"SPRM juga mahu pelan pembiayaan politik berintegriti yang hendak
dibentuk ini memasukkan komponen mewajibkan anggota pentadbiran kerajaan
sama ada di peringkat negeri ataupun persekutuan mengisytiharkan apa
jua sumbangan derma dan hadiah yang diterima.
"Dalam hal ini, SPRM bersedia untuk memberi input dan pandangan kepada
Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik," jelas
SPRM.
Selain itu, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR),
Tan Sri Johan Jaaffar mengalu-alukan dan menyokong langkah tegas untuk
memantau dana politik.
"Ketelusan dalam pembiayaan politik adalah kunci untuk membasmi rasuah politik.
"Orang ramai sentiasa menuntut ketelusan dalam bidang ini kerana wujud
persepsi mengenai cara parti politik dan kempen pilihan raya dibiayai,"
katanya.
PPPR merupakan salah satu daripada lima panel bebas yang memantau perjalanan SPRM.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment