Sunday, August 23, 2015
"Terima Kasih Rakan Yang Telah Keluar PAS" - Nik Abduh
SHAH ALAM : Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz
berkata langkah ahli PAS yang bertindak meletakkan jawatan dan keluar
dari parti berkenaan disifatkan sebagai melepaskan beban yang sudah lama
dipikul oleh parti.
Tindakan keluar parti katanya membolehkan ahli yang tidak setia kepada
parti untuk bergerak bebas kerana sudah hilang kepercayaan kepada PAS.
"Bagi rakan-rakan yang telah keluar PAS, mereka semestinya boleh
bergerak lebih bebas tanpa terbeban dengan tanggungjawab, yang mereka
telah tidak lagi berminat dengannya. Melepaskan beban yang tak perlu
adalah nikmat bagi setiap kita", katanya dalam satu kenyataan.
PAS katanya tidak akan menerima kembali mereka yang meninggalkan parti
berkenaan semata-mata untuk menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).
"Yang dah berpatah arang dan mula menghentam PAS dengan pelbagai jenis
hentaman, tiada lagi premis untuk mereka kekal dalam PAS. Mereka sayugia
keluar."
Malah beliau turut menasihatkan sesetengah ahli yang ragu-ragu untuk
keluar daripada PAS, supaya memilih untuk meninggalkan parti itu.
"Dalam maklumat yang saya perolehi secara rasmi, masih ada yang belum
isytihar. Untuk memudahkan, saya berharap mereka memilih jalan yang
sama. Ia membantu kedua-dua pihak yang bertelagah."
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mereka
dalam parti yang berani menyatakan pendirian masing-masing yang
disifatkan beliau sebagai jalan mudah kepada parti.
"Saya doakan PAS akan kembali teguh berperanan di dalam masyarakat seperti asalnya", katanya.
"Bagi ahli PAS, sebab utama perpecahan dalam Pakatan Rakyat akibat sikap keras DAP terhadap matlamat perjuangan PAS."
Rabu lalu, beberapa ahli dan kepimpinan PAS peringkat cawangan, bahagian
dan pusat bertindak meletakkan jawatan beramai-ramai antaranya PAS Kota
Raja, Shah Alam, Kapar dan Klang yang melibatkan lebih 450 ahli.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment