Monday, August 03, 2015
Tiada Penutupan Maklumat Dalam Siasatan 1MDB – Reezal Merican
3 Ogos 2015, Kepala Batas : Bekas anggota Jawatankuasa Kira-Kira Kewangan
Negara (PAC) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberi jaminan
bahawa tidak akan berlaku penutupan maklumat berhubung siasatan isu
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau berkata PAC ditubuhkan atas landasan keterbukaan dan ketelusan
kerana ia bukan sahaja dianggotai wakil daripada anggota Parlimen
Barisan Nasional (BN) malah wakil parti pembangkang.
Katanya jawatankuasa itu terdiri daripada hampir 30 anggota termasuk wakil daripada Ketua Audit dan Kementerian Kewangan.
“Maklumat yang diterima oleh setiap anggota PAC adalah sama. “Bila
perkara dibentang, ia diketahui oleh semua anggota. Mana mungkin ada
konspirasi, jika 30 orang mahu menutup atau membohong mengenai sesuatu
kes termasuk isu 1MDB.
“Oleh itu
saya memberi jaminan tidak ada ruang untuk penutupan isu sensitif
seperti 1MDB,” katanya pada majlis doa selamat dan kesyukuran sempena
pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Luar, di sini Ahad malam.
Tiga lagi anggota PAC ialah Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilantik
sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin
(Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan) dan Datuk Wilfred Madius
Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).
Reezal Merican yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas berkata
pelantikan beliau dan tiga lagi anggota PAC ke dalam Kabinet tidak akan
mengganggu laporan siasatan 1MDB.
“Kebenaran akan muncul dan rakyat akan mengetahuinya,” tambahnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment