Tuesday, August 04, 2015
Tidak Mungkin Akan Berpuas Hati Dengan Jawapan – Salleh Said Keruak
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr
Salleh Said Keruak berkata pengkritik isu 1MDB tidak akan berpuas hati
dengan apa jua penjelasan yang diberikan.
Ini terbukti apabila kritikan sesetengah pihak tetap berterusan
terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun selepas Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata wang RM2.6 bilion yang didakwa
dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri datangnya daripada
penderma, bukannya 1MDB, katanya.
“Anda tidak mungkin boleh memuaskan hati pengkritik,” kata Salleh dalam catatan terbaru dalam laman blognya.
Salleh berkata golongan ini akan tetap mendesak dan tidak akan
berpuas hati dengan jawapan yang diberikan pihak berkuasa mengenai isu
itu.
“Mereka akan menuntut anda lakukan apa yang mereka mahu, dan apabila
kita memenuhi kehendak itu, mereka tetap tidak berpuas hati,” katanya.
Salleh berkata pengkritik Perdana Menteri mendakwa wang 1MDB
dipindahkan ke akaun peribadi Najib dan mereka menuntut mahu tahu
kesahihannya.
SPRM telah mengumumkan ia bukan wang 1MDB tetapi daripada penderma,
katanya, sambil menambah itu yang dituntut mereka dan disahkan SPRM.
Semalam, SPRM melalui satu kenyataan menjelaskan wang RM2.6 bilion
yang didakwa dimasukkan ke akaun Najib datangnya daripada penderma,
bukan 1MDB.
Menurutnya laporan siasatan itu telah diserah kepada Peguam Negara.
Salleh berkata pengesahan itu tetap gagal memuaskan hati pengkritik
malah menurutnya, akan tampil dengan tuntutan dan tuduhan baru.
“Sekarang mereka mahu tahu kenapa ia mengambil masa yang lama untuk
mengesahkannya. Kenapa mereka tidak boleh sahkannya pada hari pertama?
Yang lain mahu tahu sama ada derma itu datang dengan permintaan
tersembunyi kerana pasti sumbangan sebesar itu hadir dengan syarat dan
terma tertentu.
“Jadi apa isunya sekarang? Bukankah mereka harusnya gembira wang itu
bukan dicuri dari 1MDB seperti didakwa? Itulah yang mereka tuntut dan
disahkan oleh SPRM.
“Jika Najib memberitahu sumbangan itu tidak datang dengan sebarang permintaan, adakah mereka akan percaya?” tanya Salleh.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment