Tuesday, August 04, 2015
Hentikan Spekulasi, Tuduhan Terhadap Najib – Rahman Dahlan
Semua pihak perlu menghentikan spekulasi dan
tuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung
dana politik sebanyak RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun
miliknya.
Menggesa demikian Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional
(BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, ini berikutan pendedahan bahawa
dana berkenaan adalah sumbangan penderma dan bukan dari dana 1Malaysia
Development Berhad (1MDB).
Katanya, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
mengesahkan hal tersebut dan ini dengan sendirinya menjawab tuduhan
kononnya Najib berniat jahat.
“Hari ini SPRM mendapati duit itu berasal dari penderma. Spekulasi
yang mengatakan duit itu dari 1MDB dan wang rakyat dirompak telah
terjawab.
“Soal siapa penderma duit itu dan sebab-sebab ia dimasukkan ke akaun perdana menteri boleh diselesaikan kemudian,” katanya.
Abdul Rahman bercakap kepada pemberita pada majlis jalinan mesra dan
sambutan Aidilfitri anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri
Sabah di Teluk Sepanggar semalam.
Mengenai sama ada identiti penderma RM2.6 bilion itu akan didedahkan, beliau berkata itu terpulang kepada perdana menteri.
“Sepertimana saya katakan sebelum ini, tiada undang-undang negara
yang melarang sesiapa menderma kepada parti politik yang disokong,”
katanya.
Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan, berpendapat adalah lebih baik sumbangan dana politik
diberikan terus kepada presiden parti berbanding kepada orang yang tidak
diketahui.
Pada majlis itu, Abdul Rahman turut menyampaikan sumbangan sebanyak
RM163,000 kepada balu mendiang anggota bomba Apolos Jeremos yang
terkorban semasa bertugas memadamkan api di Sandakan bulan lalu.
Selain itu, Abdul Rahman turut mengumumkan bahawa Apolos akan dinaikkan pangkat daripada KB17 kepada Pegawai Kanan Bomba (KB22).
Kemudian, bercakap kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri
Jabatan Bomba dan Penyelamat, di Putrajaya, Abdul Rahman berkata derma
untuk parti politik bukan satu perkara luar biasa dan ia berlaku di
semua negara.
“Dari segi perlembagaan Umno, presiden parti dibenarkan untuk mencari
dana sebanyak mungkin untuk parti. Ini kerana Umno adalah parti yang
besar dan kehadiran kita di merata tempat di seluruh Malaysia kecuali
Sarawak.
“Kos untuk aktiviti politik semakin bertambah jadi saya tidak
terperanjat jika dana sebanyak itu dikumpul oleh sebuah parti,” katanya.
Abdul Rahman berkata amalan meletakkan dana politik ke dalam akaun
amanah atau akaun peribadi presiden parti atau beberapa individu yang
tidak memegang jawatan dalam parti (proksi) telah diamalkan sejak zaman
bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad lagi.
“Sebab itu dulu Dr Mahathir pernah mengatakan beliau agak kecewa
kerana susah untuk mendapatkan balik dana dan harta Umno kerana dipegang
oleh individu lain,” katanya.
Menurut Abdul Rahman beliau lebih selesa jika dana parti diletakkan
di bawah akaun presiden parti supaya audit dapat dijalankan dengan lebih
mudah.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment