Thursday, November 12, 2015
Bubar JAKIM : PERKASA Beri Amaran Kepada Tawfik
KUALA LUMPUR : Tawfik Ismail (gambar) bakal menerima akibat buruk
sekiranya enggan memohon maaf kerana menggesa Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) dimansuhkan.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa Dr Amini Amir Abdullah berkata,
Jakim adalah institusi agama yang paling berautoriti di negara ini dan
mempersoalkan peranannya bertentangan dengan aspirasi Malaysia, kerajaan
dan semua orang Islam.
"Perkasa menggesa agar Tawfik segera memohon maaf kepada Jakim dan umat
Islam agar tidak berlaku komplikasi negatif kepada beliau.
"Perkasa berpandangan yang beliau tiada hak untuk mencampuri urusan
pentadbiran Jakim dalam negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari
ini.
Tawfik, yang merupakan anak kepada bekas timbalan perdana menteri Tun Dr
Ismail Abdul Rahman, berkata kepada The Malaysian Insider dalam satu
temu bual baru-baru ini, Jakim perlu dibubarkan dan umat Islam di
Malaysia harus dibenarkan untuk mengamalkan agama mereka sebagaimana
yang mereka mahukan.
Tawfik berkata, daripada segi Perlembagaan Persekutuan, Jakim tidak
benar-benar mempunyai peranan dan Agong, sultan, imam (ulama) serta
mufti mampu menggalas tugas "melindungi" kesucian agama Islam.
Amini berkata, kenyataan Tawfik itu boleh dianggap tidak bersopan, tidak beradab dan menghasut serta menghina Perlembagaan.
Katanya, Perlembagaan memberi kerajaan kuasa mutlak menubuhkan, mengurus
dan memberikan dana kepada mana mana institusi berkaitan Islam.
"Oleh demikian, penubuhan Jakim adalah selari dengan aspirasi dan peruntukan peruntukan dalam Perlembagaan.
"Perkasa berpendapat, sebagai sebuah institusi pihak berkuasa agama yang
berautoriti, Jakim tidak boleh dinafikan kewujudannya apatah lagi
mempertikaikan bidang kuasa atau peruntukan untuknya."
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr
Asyraf Wajdi Dusuki mempertahankan Jakim, mengatakan tanggungjawabnya
bukan sekadar melindungi kesucian agama Islam, malah melibatkan isu
global termasuk isu Syiah dan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan
Syria (Isis).
"Jakim masih relevan pada hari ini dan tidak ada siapa yang boleh
menafikan peranan besar dimainkan Jakim dalam menyelaras hal-hal agama
sejak ia ditubuhkan sehingga meletakkan Islam ke tahap lebih tinggi dan
sistematik pada hari ini.
"Bahkan tugas Jakim pada masa kini lebih mencabar dalam menangani
isu-isu global seperti Syiah, Islam liberal dan kumpulan militan Isis
yang sedang menular di negara-negara ini," katanya kepada pihak media.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment