Wednesday, November 11, 2015

Sabtu Ini Hadir Sendiri Ke PWTC... Tanya Sama Arul Kanda

Jika ada yang simpan soalan mengenai 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan teringin hendak bertanya langsung kepada Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Arul Kanda boleh berbuat demikian Sabtu ini.

Dalam program yang menghimpunkan tiga tokoh untuk menjawab tiga isu utama negara itu anjuran Penerangan UMNO turut disertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)dan penerangan mengenai Bajet 2016 akan dibuat oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Majlis tersebut terbuka kepada orang ramai termasuk ahli parti pembangkang dan isu-isu berkaitan 1MDB akan dijawab sendiri oleh Arul Kanda, Mustapa Mohamad dan Ahmad Husni.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, setiap pembentang diberikan masa satu setengah jam untuk memberi penerangan dan menjawab soalan daripada tetamu yang hadir.

Penerangan terbuka ini penting katanya, bagi menjawab tohmahan dan fitnah kepada isu-isu yang diketengahkan terutama yang membabitkan 1MDB dan TPPA.

"Kami tidak merancang untuk mengadakan siaran langsung tetapi semua rakyat dijemput hadir tanpa mengira latar belakang politik dan sebagainya malah media juga bebas untuk membuat liputan dan laporan pada hari berkenaan," katanya.

Sejumlah 1,000 dijangka bakal menghadiri program yang akan diadakan di Dewan Tun Hussien Onn, PWTC itu akan bermula jam 8 pagi.

Ahmad berkata, lima kumpulan utama yang dijemput ke majlis itu ialah pimpinan UMNO Bahagian bersama pimpinan Barisan Nasional, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan terpilih, wakil sektor korporat, dan pertubuhan belia pimpinan mahasiswa dan mahasiswi.

Arul bakal menjadi pembentang pertama diikuti Mustapa dan seterusnya Ahmad Husni.

Jelas Ahmad, tiada sebarang sekatan dikenakan kepada Arul untuk menyampaikan pembentangan serta menjawab semua soalan yang bakal dikemukakan biarpun beliau merupakan salah seorang saksi yang bakal dipanggil oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Arul telah menyatakan persetujuan untuk datang dan membuat pembentangan biarpun beliau maklum bahawa bakal dipanggil PAC. Tiada masalah untuk beliau hadir serta menjawab semua soalan daripada orang ramai, tiada sekatan kepada beliau pun," jelasnya lagi.

Majlis Penerangan Perdana itu merupakan lanjutan daripada siri Dialog Isu Nasional yang diadakan di seluruh negara selaras dengan perkembangan semasa dan pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Siri Dialog Isu Nasional dilaksanakan di peringkat Parlimen sebelum dan sebaik sahaja selesai Perhimpunan Agung UMNO 2015, bulan depan.

Ketika diminta mengulas mengenai Perhimpunan Agung UMNO yang bakal bermula Disember hadapan, Ahmad berkata, majlis penerangan ini akan dianggap sebagai 'pembuka tirai' kepada Persidangan Agung UMNO 2015 yang akan bermula pada bulan hadapan.

"Ini adalah pembuka tirai kepada PAU yang tentunya akan mendebatkan isu berkaitan dalam empat persidangan, iaitu sayap Wanita, Pemuda, Puteri dan perhimpunan agung itu sendiri.

"Dan saya juga ingin menyarankan agar jurucakap-jurucakapa Perhimpunan Agung UMNO yang telah pun dikenalpasti , untuk menghadiri pada hari Sabtu ini, supaya mereka lebih mendapat kefahaman yang lebih menyeluruh," katanya lagi.

Mereka yang berminat untuk menghadiri Majlis Penerangan Perdana boleh menghubungi sekretariat dengan menghubungi talian 03-40429511/40482656/40503327 atau faks 03-40456433. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment