Wednesday, November 11, 2015
Niat Sebenar Di Sebalik Hentaman Secara Terbuka..
EDITOR MENULIS...
12 NOVEMBER 2015
Sejak akhir-akhir ini, nama Adun Salor, Datuk Husam Musa begitu popular
diperkatakan oleh ramai pemimpin PAS. Dari pucuk pimpinan yang tertinggi
hinggalah ke peringkat PAS cawangan, nama Husam disebut-sebut.
Diyakini nama Husam tiba-tiba jadi popular dan menjadi topik perbualan
hangat di kalangan ahli dan pemimpin PAS adalah gara-gara tindakannya
yang menghentam pucuk pimpinan parti itu dan kerajaan PAS Negeri
Kelantan secara terbuka. Khabarnya, kerana itulah namanya 'viral'...
Apakah salah Husam menghentam atau mengkritik negatif pucuk pimpinan PAS
secara terbuka? Jika diikutkan teori mantan Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad, tindakan tersebut tidak salah. Maklumlah, memang Dr
Mahathir selalu buat begitu, takkanlah beliau mahu menyalahkan tindakan
itu, bukan?
Setiausaha Agung PAS, Dato' Takiyuddin Hasan mempersoalkan niat sebenar
Husam dalam kritikan terbukanya terhadap kepimpinan PAS. Beliau
bertanyakan secara jelas tentang apakah niat sebenar Husam bertindak
mengkritik secara terbuka.
Kata Takiyuddin, PAS mempunyai kaedah dan cara untuk menyalurkan
sebarang ketidakpuasan hati mana-mana ahli itu terhadap pemimpin dan
mengingatkan Husam serta seluruh ahli parti itu supaya menggunakan
saluran yang betul untuk mengkritik pemimpin.
Pada pandangan saya, boleh dikatakan semua parti mempunyai saluran
dalaman untuk menyuarakan rasa tidak puas hati pada mana-mana pemimpin
parti. Bukan hanya PAS sahaja, UMNO pun begitu, masing-masing mempunyai
cara yang sama dalam menangani maslahah dalaman parti.
Soalnya, mengapa ada juga yang degil, tidak tahu etika, cakap tidak
serupa bikin dan tetap mengkritik pemimpin parti secara terbuka sehingga
ada yang sanggup memanggil media untuk mengadu domba tentang hal
dalaman parti?
Di dalam PAS sebelum ini, memang ada yang mengkritik pucuk pimpinan
parti itu secara terbuka seperti Mat Sabu, Khalid Samad, Hanipa Maidin,
Dzulkifli Ahmad dan ramai lagi. Namun majoritinya sudah keluar dan
memegang jawatan utama di dalam Parti Amanah Negara.
Setelah mereka keluar, maka tidak ramai 'perosak' yang tinggal di dalam
PAS. Dan 'perosak-perosak' yang tertinggal kebanyakkannya tidak
mempunyai sebarang jawatan besar di dalam parti, namun menjadi Adun atau
Ahli Parlimen. Mereka yang tidak berjawatan dalam parti itulah yang
selalu 'berbunyi' menghentam pucuk pimpinan parti.
Sekali lagi saya ajukan soalan seperti Takiyuddin, apakah niat mereka
membuat kritikan terbuka meskipun mereka tahu tindakan itu memberikan
lebih banyak keburukan dari kebaikan? Kenapa agaknya?
Pada pandangan saya, mereka cuba mencari perhatian umum. Mereka
mungkin mahu dilihat sebagai 'hero' yang kononnya dipihak yang 'benar'.
Lebih gah lagi apabila mereka mendakwa kritikan itu adalah 'demi
rakyat'. Nama 'rakyat' juga yang dipergunakan untuk kepentingan politik
mereka...
Mungkin juga niat mereka mahukan jawatan. Bagi mereka yang sudah pencen,
mungkin mereka bertindak 'busuk' begitu supaya pemimpin di atas
cepat-cepat meletak jawatan bagi membolehkan anak atau kroni mereka
lebih cepat mendaki ke puncak jawatan tertinggi parti.
Namun paling utamanya, saya berpandangan bahawa mereka yang
sebenarnya tidak sayangkan parti itu berniat demi kepentingan politik
peribadi mereka sehingga tergamak mengenepikan kepentingan, kekukuhan
atau imej parti.
Seorang 'negarawan ulung' pernah menasihati saya supaya tidak
menghentam pemimpin secara terbuka sama ada menerusi media atau di
khalayak ramai. Beliau meminta saya mengkritik melalui saluran yang
betul dan tidak terbuka demi kepentingan parti.
Menghormati pandangan beliau itu, dan bersetuju bahawa kepentingan parti
adalah lebih penting dari pemimpin yang saya sokong, maka saya
akur dengan nasihat 'bekas orang nombor satu negara' itu.
Amat malang sekali, 'negarawan ulung' yang menasihati saya itu pula
yang menghentam pucuk pimpinan secara terbuka. Bukan sekali,
berkali-kali dibuatnya. Bila ditanya kenapa, beliau jawab 'demi rakyat'.
Padahal, ketika beliau 'di atas' dulu, beliaulah yang bersetuju dengan
perjanjian konsesi tol yang kini menekan rakyat! Jika 'demi rakyat',
mengapa beliau 'seksa rakyat'?
Justeru itu, saya simpulkan bahawa PAS dan UMNO sememangnya mempunyai
masalah yang sama. Kenapa sama? Kerana orang Melayu memang suka jatuh
menjatuhkan demi kepentingan sendiri. Mereka mungkin 'mudah lupa'
barangkali...
Jika PAS mempunyai Mat Sabu, Husam, Khalid Samad, Hanipa Maidin dan
ramai lagi, UMNO juga mempunyai rangkaian yang lebih kurang serupa
seperti mantan PM, mantan TPM, mantan menteri, mantan timbalan menteri
dan mantan naib ketua bahagian. Sama saja masalahnya, kepentingan
peribadi mengatasi kepentingan parti.
Saya mengesyorkan agar PAS dan UMNO bermuhasabah diri, dan giat untuk
menjalankan program yang mampu mengembalikan jatidiri dan roh 'bangsa,
agama dan tanahair' di dalam diri setiap ahli serta pemimpinnya. Semoga
Allah jauhkan kita dari 'syaitan-syaitan dalam jemaah' itu...
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment