Wednesday, November 11, 2015

Siapa Yang Mahu Gugurkan Mukhriz Di Kedah?

Gegak gempita di Kedah apabila Timbalan Perdana Menteri hadir ke negeri itu baru-baru ini. Bukan kerana Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi, namun kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah, merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau tiba-tiba saja berkata bahawa tidak peru menggugurkan beliau dari jawatan tertinggi kerajaan dan UMNO di negeri itu dan memberitahu bahawa akan mengundurkan diri sekiranya rakyat Kedah tidak lagi menyokongnya.

Seolah-olah membayangkan bahawa seluruh rakyat Kedah menyokong beliau, Mukhriz menggesa supaya pucuk pimpinan tertinggi UMNO di peringkat pusat supaya mengenepikan segala masalah dalaman dan membantunya berkhidmat di negeri tersebut.

Berdasarkan kenyataan Mukhriz itu, tercetus persoalan tentang siapa yang mahu menggugurkan beliau dari jawatan Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO di negeri berkenaan?

Setahu penulis, hanya Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak sahaja yang berhak berbuat demikian kerana jawatan Menteri Besar dan Pengerusi UMNO Negeri adalah terpulang pada budi bicara Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional.

Mudah kata, hak untuk melantik atau menggugurkan seseorang menjawat dua jawatan berkenaan adalah hak prerogatif Najib. Soalnya, bila masa Najib kata mahu menggugurkan Mukhriz dari dua jawatan berkenaan? Mukhriz paranoid atau takut pada bayang-bayang sendiri, kah?

Mungkin timbul desas-desus dan acah-acah nakal dari salah seorang Adun UMNO yang mencuit hati Mukhriz untuk mengambil jawatannya itu. Namun, apakah Mukhriz percaya pada desas-desus tersebut? Seorang Menteri Besar percaya pada desas-desus berbanding realiti?

Mungkin juga benar Adun berkenaan mahu beliau meletak jawatan. Pada pandangan penulis, mungkin Adun itu mempunyai alasan tersendiri untuk desakan tersebut. Namun, apakah Mukhriz fikir Najib 'termakan' dengan gesaan itu?

Pada penulis, jika Najib benar-benar mahu gugurkan Mukhriz, tidak perlu ada desakan dari sesiapa pun dan tidak perlu adu domba, sudah lama Mukhriz digugurkan. Tapi sehingga kini, Mukhriz tetap 'kebal' dan tiada sebarang gangguan terhadap beliau dari presiden parti.

Malah demi untuk meredakan hati Mukhriz yang dikatakan gundah-gulana, Ahmad Zahid sendiri pernah menegaskan bahawa tiada sebarang rombakan yang melibatkan Menteri Besar mahupun Pengerusi Badan Perhubungan UMNO di mana-mana negeri. Apa lagi yang Mukhriz ragukan?

Atau Mukhriz sendiri 'termakan' permainan orang-orang yang berada di sekelilingnya yang seolah-olah cuba menjadi 'batu api' melaga-lagakan beliau dengan kepimpinan UMNO di peringkat pusat?

Pada pandangan penulis, apa yang berlaku di Kedah adalah merupakan masalah dalaman parti itu di peringkat negeri dan langsung tidak melibatkan UMNO di peringkat pusat. Apa yang jelas, Mukhriz masih 'gagal' menangani kerenah 'nakal' beberapa pemimpin parti di sana.

Apa kelemahan Mukhriz di Kedah? Menurut sumber penulis di negeri itu, kelemahan Mukhriz yang paling ketara ialah beliau dilihat masih lagi kurang memahami sikap, budaya dan cara pemimpin-pemimpin UMNO di sana berkomunikasi. Malah ada yang mendakwa seolah-olah gaya Mukhriz di Kedah hanyalah sekadar 'lakonan yang dibuat-buat' untuk memikat hati rakyat di negeri itu. 'Tidak natural', tidak seperi 'orang Kedah tulen' katanya.

Jika benar beliau kenal dan sudah menjiwai suasana 'sepak terajang' dan 'kemesraan' politik UMNO di Kedah, sudah tentu beliau dapat mengawal setiap Ketua UMNO Bahagian di negeri itu terutama di Sungai Petani, Pokok Sena, Padang Serai, Kubang Pasu, Jerai, Merbok, Kubang Pasu, Padang Terap dan bahagian-bahagian lain.

Penulis syorkan Mukhriz supaya lebih bekerja keras dalam memahami sikap mereka yang sebenar dan membentuk kesepakatan yang jitu secepat mungkin. Usah terlalu terikut-ikut dengan budaya korporat, 'keras' tidak pandai 'hemoi' dan tidak terlalu mengikut kata 'muka-muka buku manual' yang ada di sekelilinginya.

Seterusnya, Mukhriz juga dicadangkan supaya mula melakukan kajian sikap di kawasannya sendiri di mana penulis mendapat khabar bahawa terdapat bunyi yang kurang enak di kalangan akar umbi di kawasan yang beliau ketuai. Apa yang dirungutkan penulis enggan beritahu, siasatlah sendiri dan usah harapkan orang-orang kanannya yang menyiasat...

Baru-baru ini, dalam pembentangan Bajet 2016, Kedah turut disebut-sebut mendapat peruntukan yang besar berbanding negeri lain yang lebih sedikit peruntukannya. Peruntukan-peruntukan itu membuktikan kepimpinan Pusat memberikan kepercayaan dan sokongan penuh pada Mukhriz untuk berkhidmat kepada rakyat Kedah.

Namun ada pula suara yang berbunyi mengatakan 'tidak cukup'. Biasalah. Bagi sesetengah manusia, mereka memang tidak pernah cukup dengan apa yang ada. Yang ada pada mereka selalunya ialah komplen, komplen dan komplen sentiasa.

Bagi soal itu, Mukhriz perlu cukupkan apa yang dikatakan 'tidak cukup' itu dan tidak menjadi 'anak manja' yang bersikap 'beri petis mahukan peha'. Setahu penulis, Menteri-Menteri Besar lain sama ada yang terdahulu di Kedah atau di negeri-negeri lain bijak berdiplomasi mencari dana untuk negeri masing-masing. Janganlah terlalu harapkan bapa yang sudah berusia...

Kesimpulannya, penulis berpandangan bahawa Mukhriz perlu percaya pada diri sendiri dan mengambil kesempatan atas kepercayaan dan sokongan dari Najib terhadapnya di Kedah. Meskipun bapa Mukhriz tidak putus-putus menyerang Najib di peringkat pusat, tapi Najib sikit pun tidak membalas terhadap Mukhriz. Mukhriz perlu kenang perkara tersebut.

Penulis tidak pasti sama ada tulisan penulis ini akan sampai ke telinga Mukhriz atau tidak. Namun tulisan ini membuktikan bahawa penulis sayang pada ketokohan beliau sebagai pemimpin yang berpotensi tinggi untuk meneruskan khidmat cemerlang UMNO kepada rakyat.

Sekiranya penulis benci pada Mukhriz, buat apa penulis berikan kritikan yang membina pada Menteri Besar Kedah itu sedangkan penulis tidak tinggal di negeri di utara semenanjung tesebut? Ingatlah bahawa Najib dan UMNO memberikan harapan yang besar pada beliau, bukan pada mereka yang berada di sekelilingnya...

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment