
Thursday, October 01, 2015
Perlukah Ditubuhkan “Kementerian Jawab Fitnah” Di Malaysia?
Menerusi beberapa potong hadis yang disabdakan Rasulullah SAW, para
ulama mentafsirkan bahawa antara petanda kiamat ialah dengan berlakunya
tuduhan fitnah secara berleluasa di muka bumi Allah ini.
Ternyata benarlah sebagaimana yang disabdakan itu di mana kita sebagai
umat akhir zaman begitu galak disajikan dengan pelbagai bentuk fitnah
khususnya dengan menggunakan internet sebagai mekanisme paling ampuh
untuk menyebarkan dosa besar tersebut.
Malangnya, masih ramai lagi rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam
tanpa soal panjang terus percaya bulat-bulat dengan apa yang
dihidangkan kepada mereka, tanpa menyedari sama ada juadah maklumat itu
haram atau halal untuk dijamah.
Terbaru yang berlaku semalam, entah ‘malaun’ mana, tanpa rasa bersalah
menabur fitnah dengan mengubahsuai sekeping gambar yang kononnya
memaparkan ‘tweet’ dari Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Pada paparan palsu yang diubahsuai itu, ‘malaun’ itu menyebar dakwaan
kononnya Najib mengarahkan sekolah ditutup pada hari Isnin dan Selasa
kerana jerebu yang bertambah buruk. Gara-gara fitnah itu, terpaksa pula
pihak Pejabat Perdana Menteri (PMO) membuat kenyataan di laman Facebook
menafikan imej palsu berkenaan.
Timbul persoalan di fikiran penulis, sampai bilakah budaya fitnah akan
terus bermaharajalela dan mencemarkan negara kita? Negara kita merupakan
sebuah negara Islam dan apakah ciri masyarakat Islam di Malaysia suka
mencetus dan menyebarkan fitnah?
Penulis melihat, fitnah semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Ia
banyak membabitkan perbuatan fitnah terhadap kepimpinan kerajaan
Malaysia sama ada menerusi media barat, blog, Facebook, Twitter,
Instagram dan laman-laman sosial lain.
Tidak cukup di internet, mereka turut menyebarkan fitnah tersebut
menerusi pelbagai aplikasi telefon pintar seperti Whatsapp, Telegram,
WeChat dan sebagainya. Boleh dikatakan setiap hari ia berlaku, bukan?
Pantang ada isu, ada saja fitnah yang bakal menyusul…
Pada pandangan penulis, sekiranya ia terus berlaku, maka ia akan
menjejaskan moral dan kualiti ahklak masyarakat di negara kita, terutama
generasi yang akan datang. Ia akan terus menjadi budaya songsang,
seolah-olah budaya berkenaan ‘dihalalkan’ oleh Islam.
Padahal, fitnah sudah ditegaskan tergolong dalam tujuh dosa besar di dalam Islam!
Selain itu, fitnah-fitnah itu akan menjejaskan produktiviti negara kita.
Sebagai contoh, fitnah terhadap Perdana Menteri mengenai kes pembunuhan
Altantuya sudah pun diperjelas sebelum Najib menjadi Perdana Menteri
lagi.
Bukan saja pernah bersumpah di atas nama Allah SWT sebanyak tiga kali di
dalam rumah Allah, malah beliau turut disahkan tidak punya sebarang
kaitan dengan kes berkenaan oleh mahkamah, mahupun pihak berkuasa yang
menyiasat kes tersebut.
Peliknya, pihak pembangkang terus melaung-laungkan fitnah tersebut
sambil ‘balaci-balaci’nya yang beragama Islam terus menerus menyambut
dan percaya pada fitnah berkenaan walaupun mereka tidak punya sebarang
bukti kukuh untuk menuduh sebegitu.
Benarlah bahawa Najib itu manusia biasa yang punya salah dan silap,
tidak sempurna dan maksum dirinya seperi Rasulullah SAW. Namun,
sekiranya beliau dibuktikan tidak bersalah, mengapa pula harus beliau
difitnah?
Mungkin pemimpin DAP tidak percaya atau beriman kepada hukum hakam atau
terma pahala dan dosa. Namun sebagai umat Islam, ada pula yang percaya
dan tergamak menyebarkan kesesatan akal mereka itu kepada orang lain
tanpa rasa berdosa. Wajarkah berbuat begitu selaku umat Islam?
Suka penulis cadangkan di sini, janganlah diikutkan hawa nafsu politik
yang menghalalkan sesuatu yang haram. Hanya mereka yang bukan Islam
sahaja yang boleh berbuat demikian, dan kita sebagai umat Islam
diharamkan sama sekali meniru cara kuffar itu berpolitik.
Lagipun, banyak lagi kerja-kerja penting dan bermanfaat yang harus
diberi perhatian oleh para pemimpin kita selain dari melayan
fitnah-fitnah bodoh yang tidak berguna itu. Kalau hendak dilayan fitnah
setiap hari, tak jadi kerjalah. Kerjanya menjawab fitnah setiap hari.
Perlukah diwujudkan Kementerian Jawab Fitnah di Malaysia?
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment