Monday, August 03, 2015
Ada Usaha Pecahkan UMNO Dari Dalam
Naib
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli-ahli
UMNO bahawa perpecahan di dalam parti itu lebih mudah dilakukan dari
dalam berbanding dari luar.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha memecahbelahkan parti itu seolah-olah sedang berlaku ketika ini.
“Permasalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sukar dipecahkan dari luar, tetapi mudah dipecahkan dari dalam.
“Apa yang berlaku dalam kalangan kita (ketika ini) adalah usaha untuk
memecahbelahkan (parti) dari dalam,” katanya ketika berucap merasmikan
Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bayan Baru di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Balik Pulau yang juga Timbalan
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya selaku wakil Badan
Perhubungan UMNO negeri serta Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk
Mansor Musa.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, UMNO meraikan
perbezaan pendapat dalam kalangan ahli-ahlinya, namun perlu ditangani
mengikut ilmu tasawuf Islam.
Katanya, pendekatan itu bermaksud perbezaan pendapat tersebut perlu
disertakan dengan ketertiban, usaha menjaga aib pihak yang lain serta
mempunyai tatasusila tersendiri.
“Malah, dalam Islam sekali pun perbezaan pendapat ini dibenarkan dan
ada akhlaknya dalam Islam untuk menangani perbezaan pendapat ini,”
katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan ahli-ahli UMNO melakukan
perubahan supaya selari dengan kehendak khalayak hari ini yang
disifatkan lebih sofistikated.
Antara yang ditekan beliau adalah keperluan untuk ahli-ahli UMNO
menguasai media sosial supaya tidak terus menjadi mangsa fitnah atau
mempercayai fitnah yang disebarkan menerusi medium tersebut.
“Ketika ini adalah zaman di mana maklumat dan fitnah berada hanya di
hujung jari. Maka untuk UMNO kekal relevan dan berdepan generasi Y, kita
perlu berubah ke arah tersebut,” katanya.
Dipetik daripada sumber : UTUSAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment