Thursday, August 27, 2015
Kita Sokong 100%.... Polis Akan Ambil Tindakan Tegas Terhadap Peserta Bersih - KPN
KUANTAN : "Berani buat berani tanggung, kalau masih kekal untuk langgar
undang-undang, kita akan ambil tindakan," tegas Ketua Polis Negara, Tan
Sri Khalid Abu Bakar kepada penganjur dan individu yang menyertai
perhimpunan Bersih 4.0 pada hujung minggu ini.
Beliau berkata, polis akan mengambil tindakan tegas berlandaskan
undang-undang kerana perhimpunan itu adalah haram kerana tidak memenuhi
syarat apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak
membenarkan perhimpunan itu diadakan di sekitar ibu kota khususnya
Dataran Merdeka.
"Negara kita ini ada undang-undang, kalau dia (penganjur) masih lagi
kekal dengan keputusan melanggar undang-undang (mengadakan perhimpunan),
apa boleh kami buat.
"Kami ini penguat kuasa undang-undang, tanggungjawab kami adalah
mengambil tindakan mengikut undang-undang, Jangan marah polis kalau kami
ambil tindakan sebab kami sudah bagi nasihat, sudah berunding, sudah
beri pilihan, terima sahajalah akibatnya nanti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Istiadat
Pengurniaan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di Dewan Jubli Perak
Sultan Haji Ahmad Shah di sini, Khamis.
Majlis pengurniaan pingat kepada 234 pesara polis yang pernah berkhidmat
pada zaman darurat itu disempurnakan oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad
Shah. Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob,
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Polis
Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani.
Khalid berkata demikian sebagai mengulas tindakan penganjur Bersih 4.0
yang tetap berdegil untuk mengadakan perhimpunan pada hujung minggu ini
walaupun telah diisytiharkan sebagai haram kerana tidak memenuhi syarat
di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).
Katanya, polis khuatir perhimpunan pada hujung minggu ini akan menjadi
tidak terkawal apabila satu kumpulan lain yang menggelarkan diri mereka
'Anti Bersih 4.0' turut bersama-sama berkumpul bagi menentang
perhimpunan tersebut.
"Itu sebabnya kita minta mereka tidak mengadakannya di kawasan terbuka
seperti di (kawasan pusat beli-belah) Sogo dan Dataran Merdeka, kita
sudah menjangka perkara sebegini, ada yang menentang ... membantah.
"Kalau mereka adakan perhimpunan di stadium senang dikawal, tidak menggangu peniaga, orang ramai dan lalu lintas," katanya.
Bagaimanapun, katanya polis telahpun bersedia termasuk dari segi
keanggotaan untuk menghadapi segala kemungkinan termasuk
provokasi-provokasi yang mungkin akan ditimbulkan oleh peserta dan
penganjur perhimpunan haram itu.
Dalam masa yang sama, Ketua Polis Negara turut kesal dengan tindakan
pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang dilaporkan
mahu mengawasi tindakan pihak berkuasa dalam menangani peserta Bersih
4.0.
Beliau menegaskan Suhakam sepatutnya mengawasi pihak yang melanggar
peraturan dan bukannya pihak polis yang menegakkan undang-undang.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment