Monday, August 24, 2015

Ahli Umno Perlu Berani Pertahankan Parti dan Negara.

Umum mengetahui bahawa pelbagai isu sedang melanda sama ada di dalam parti UMNO mahu pun negara. Oleh itu, semua ahli parti diseru supaya berani tampil untuk memperjelas kepada rakyat mengenai perkara tersebut bagi mengelak daripada terus menjadi bahan fitnah serta mewujudkan persepsi negatif.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, contohnya dalam mendepani isu seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), semua ahli perlu berusaha meyakinkan rakyat malah pada masa sama kerajaan sedang berusaha menyelesaikan kemelut tersebut termasuk menerusi saluran perundangan.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan, keyakinan rakyat perlu kerana jawapan dan penyelesaian kepada kemelut 1MDB itu akan diketahui hujung tahun ini sebagaimana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seterusnya, beliau berkata, semua ahli UMNO dan rakyat juga perlu yakin bahawa segala hutang melibatkan 1MDB akan diselesaikan menjelang hujung tahun ini, malah tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pihak yang sekiranya didapati menyeleweng dalam perkara berkenaan.

"Jelaskan kepada rakyat yang mana proses rasionalisasi dan siasatan sedang berlaku dalam isu 1MDB ini dan berilah ruang kepada pasukan penyiasat menjalankan tanggungjawab mereka."

"Bagi UMNO sendiri perkara ini adalah mustahak kerana adalah mustahil untuk kita berdepan pilihan raya umum akan datang sekiranya isu ini tidak diselesaikan," katanya.

Hishammuddin berkata demikian menerusi ucapannya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Permatang Pauh yang turut dihadiri Ketua Bahagiannya, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said di Bukit Mertajam, semalam.

Tambahnya, semua ahli UMNO dan rakyat seharusnya mengambil iktibar daripada konflik politik yang berlaku di Asia Barat yang mana peralihan kuasa di negara-negara berkenaan tidak menjanjikan masa depan lebih baik kepada rakyat sebaliknya ramai yang menderita seperti berlaku di Mesir, Iraq dan Syria.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment