Tuesday, August 18, 2015
Bung Moktar Kesal Namanya Dikaitkan Mahu Gulingkan Kerajaan
SANDAKAN : Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar
Radin kesal dengan tuduhan yang mengaitkan beliau antara pemimpin UMNO
yang didakwa terbabit dalam gerakan untuk menggulingkan kerajaan.
Menurutnya beliau tidak tahu wujudnya gerakan itu sehinggalah
didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
“Pada saya tuduhan sebegini kepada saya amat berat dan sungguh
dikesali. Saya tidak pernah menjadi pengkhianat atau pembelot kepada
parti yang saya perjuangkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bung Moktar yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata mungkin
beliau selalu bersuara lantang tetapi tidak pernah menggadai maruah
kerana tidak bersetuju dengan mana mana pemimpin.
Beliau berkata baginya perjuangan UMNO adalah perjuangan yang ikhlas dan bersih.
Menurutnya kalau ada usaha daripada mana-mana pihak mahu menjatuhkan
kerajaan Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat, beliau adalah orang
pertama yang menentangnya.
“Kerana pada saya kerajaan ini dipilih oleh rakyat. Kalau mahu
dijatuhkan pun biarlah melalui pilihan raya umum dan bukan di jalan raya
atau mana-mana cara yang tidak bermaruah,” katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar mahu pihak tidak bertanggungjawab
menghentikan penggunaan namanya dalam perkara yang beliau sendiri tidak
tahu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment