Tuesday, August 18, 2015
‘Low Yat 2′ Tonjol Imej Baru, Barangan Tulen
PUTRAJAYA : Cadangan penubuhan ‘Low Yat 2′ akan menonjolkan
imej baharu kepada pusat jualan peralatan telekomunikasi kerana ia
menjadi kawasan menjual barangan tulen sahaja, kata Menteri Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin.
Katanya imej ‘Low Yat’ agak negatif kebelakangan ini kerana setiap
kali pemeriksaan dijalankan di Plaza Low Yat, pasti ada barangan tiruan
dikesan dan peniaga dikompaun.
“Untuk memulihkan imej Low Yat mungkin memakan masa, jadi kita
wujudkan tempat baharu dengan imej baharu,” katanya kepada pemberita
selepas menghadiri perhimpunan bulanan pertama kementeriannya sejak
dilantik sebagai menteri di sini, Selasa.
Hamzah berkata kawasan baharu itu juga berpotensi dibangunkan seperti
Akihabara iaitu pusat barangan elektronik dan telekomunikasi yang
terkenal di bandaraya Tokyo, Jepun dalam jangka masa panjang.
“Kawasan baharu ini bukan untuk kepentingan Bumiputera semata-mata. Jangan namakannya sebagai Low Yat 2 dan sebagainya.
“Apa yang penting tempat baharu ini mempunyai imej baharu dan
pengguna mempunyai keyakinan bahawa mereka tidak tertipu kerana tidak
ada produk tiruan yang dijual di tempat itu,” katanya.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob sebelum ini mencadangkan sebuah ruang jualan produk komputer, dan
alatan telekomunikasi khusus diwujudkan untuk peniaga Melayu dan
Bumiputera atas platform Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Dalam amanatnya pada perhimpunan bulanan itu sebelum itu, Hamzah
berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK) perlu menjadi ‘the champion ministry’ dalam menjaga kepentingan
pengguna dan meningkatkan ekonomi negara.
“Perlu ada perkara baharu yang kreatif dan inovatif yang oleh KPDNKK,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment