Tuesday, August 18, 2015
Media Sosial Bukan Pusat Sumber Maklumat Perlembagaan Malaysia – Pakar Undang-Undang
KUALA LUMPUR : Media sosial bukan pusat sumber
maklumat untuk mendapatkan informasi mengenai Perlembagaan Malaysia,
kata Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut
Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.
Sebaliknya, Shamrahayu menyarankan masyarakat merujuk kepada
pakar undang-undang atau melalui bahan bacaan daripada sumber yang sahih
bagi mengelak kekeliruan tentang Perlembagaan Negara.
“Saya bimbang memandangkan sekarang ramai keluarkan pendapat sendiri
dan kongsi di laman sosial atau bercakap dalam mana-mana ceramah.
“Masyarakat tidak perlu takut untuk membaca sendiri Perlembagaan
Negara dan rujuk kepada pakar jika tidak faham. Bukan bergantung pada
maklumat di media sosial,” katanya selepas membentangkan kertas kerja
Sejarah Agama Islam Dalam Perlembagaan pada bengkel Islam Dalam
Perlembagaan Malaysia hari ini.
Bengkel sehari yang diadakan di IKIM di sini dihadiri 50 peserta
terdiri daripada ahli akademik, wakil badan bukan kerajaan (NGO), pesara
kerajaan, kakitangan Biro Tata Negara serta Jabatan Kemajuan Masyarakat.
Antara objektif bengkel adalah mendidik masyarakat memahami kedudukan
Islam dalam Perlembagaan Malaysia serta membincangkan beberapa isu
semasa berkaitan agama.
Dalam pada itu, Shamrahayu turut menasihatkan masyarakat agar
tidak terpedaya dengan maklumat mengenai undang-undang negara yang
dibincangkan dalam mana-mana ceramah politik.
“Kalau nak bincang tentang Perlembagaan Malaysia, jangan guna
pendekatan politik. Perlembagaan Malaysia adalah milik kita, jadi kita
perlu elak menerima maklumat tidak tepat. Boikot mereka yang cuba
politikkan Perlembagaan Malaysia,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment