Monday, August 03, 2015
Dakwaan TPM Tutup Semua Media Sosial - Polis Buru Penyebar Fitnah Jahat
Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang mengeluarkan
kenyataan mendakwa penggunaan media sosial akan disekat mulai Selasa
ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata
beliau sudah mengarahkan polis menyiasat kononnya beliau mengeluarkan
kenyataan berhubung perkara itu.
"Saya tidak bagi amaran tetapi saya akan mengambil tindakan terhadap
fitnah berkenaan. "Jangan rosakkan nama saya dengan tujuan untuk
memperlihatkan seolah-olah saya tidak faham perundangan," katanya pada
sidang media selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Bayan Baru di
sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, semua pihak jangan cuba menggunakan kebebasan media untuk menyebarkan fitnah.
"Saya minta pihak berkenaan menarik balik dan saya serius mengenai
perkara ini. "Jangan main-main dengan saya serta jangan buat fitnah
terhadap pemimpin negara atau mana-mana parti," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, UMNO perlu mendepani gelombang komunikasi
baharu yang berupaya mencipta serta menyebar pembohongan yang akhirnya
diterima sebagai kebenaran kepada kumpulan sasar.
Beliau berkata, komunikasi baharu yang didokongi oleh Gen Y mampu
mengubah keseluruhan struktur geopolitik negara hanya melalui hujung
jari sahaja.
Sehubungan itu, katanya, UMNO perlu mengakui bahawa kemerosotan sokongan
yang diterima pada pilihan raya lalu adalah berpunca daripada kegagalan
parti menangani permasalahan berkenaan.
"Kita harus melakukan muhasabah diri bahawa kekalahan kita adalah kerana
kita tidak serius menangani masalah ini dan masih bersikap
konvensional.
"Memang ada musuh yang memantau setiap gerak geri dan pertuturan kita,
lantas mereka mencari dan mencipta kesilapan kita supaya nampak bodoh.
Persepsi ini yang buat rakyat percaya dan kita kecundang," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment