Monday, August 17, 2015
GHB Tubuh Parti Islam Baharu ‘AMANAH’... Habis PAS Apa Pulak?
Parti Amanah Rakyat atau “Amanah” dijangka menjadi nama rasmi parti
Islam baharu yang ditunggu-tunggu, ditubuhkan daripada kumpulan serpihan
pemimpin PAS dan ahli badan bukan kerajaan Islam.
Dijangka dilancarkan pada Hari Kemerdekaan, menurut sumber, parti yang
berteraskan Islam itu akan menggunakan warna Gerakan Harapan Baru (GHB)
sekarang iaitu oren sebagai warna tema partinya.
Nama dan logonya akan dihantar ke Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak lama lagi sebelum dilancarkan secara rasmi pada 31 Ogos.
Keputusan mengenai nama, logo dan warna parti itu dimuktamadkan pada
mesyuarat di Shah Alam semalam yang dihadiri pemimpin-pemimpin Gerakan
Harapan Baru (GHB), yang merupakan sebahagian daripada ahli Parlimen dan
pemimpin politik PAS yang paling menonjol.
GHB adalah pelopor kepada parti baharu ini.
Menurut satu temu bual terdahulu dengan bekas Setiausaha Agung PAS Datuk
Mustafa Ali, keanggotaan ahli dan pemimpin PAS akan terbatal sebaik
sahaja mereka menyertai parti politik yang lain.
Selain ahli PAS dari seluruh negara kata sumber itu, Amanah akan terdiri
daripada pemimpin utama beberapa NGO Islam terbesar negara seperti
Abim, Ikram dan Haluan.
Difahamkan hampir 70% pemimpin PAS dari Johor, Melaka dan Negeri
Sembilan akan meninggalkan parti itu dan menyertai Amanah sebaik sahaja
ia ditubuhkan nanti.
Sehingga kini, Amanah yang bakal ditubuhkan sudah sedia dengan
penyelarasnya di setiap negeri dan kawasan Parlimen di seluruh negara
yang terdiri daripada bekas pemimpin kanan PAS sebelum ini yang dilantik
menerusi GHB.
Parti itu dijangka bekerjasama dengan DAP dan PKR membentuk pakatan
pembangkang baharu selepas Pakatan Rakyat dibubarkan apabila hubungan
PAS dan DAP secara rasmi berakhir pada Jun lalu.
PAS dijangka bergerak sendiri tetapi akan cuba mengekalkan hubungannya
dengan PKR bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru dengan parti yang
baharu pada Pilihan Raya Umum ke-14. – 17 Ogos, 2015.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment