Thursday, August 20, 2015
Haram Guling Kerajaan - Mufti Perak
IPOH : Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata tindakan
mengguling kerajaan adalah haram kerana tindakan itu tidak terdapat
dalam ajaran Islam.
Beliau berkata sebagai seorang Islam perlu mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
Katanya orang Islam diwajibkan untuk menasihati kerajaan jika terdapat
unsur kezaliman dalam pentadbiran dan itu merupakan jihad terbesar.
"Dan ini kita sudah usahakan. Kita telah menubuhkan pertubuhan ulama
umarak yang terdiri daripada perdana menteri, menteri-menteri dan ulama,
mufti-mufti yang kita adakan persidangan setiap tiga bulan sekali.
"Dalam mesyuarat itu kita akan memberi nasihat dan pandangan... kita
tegur apa yang patut dan tidak patut dibuat," katanya pada sidang media
selepas merasmikan Restoran D'Asnaf di sini, Khamis.
Harussani berkata sebagai anggota kerajaan termasuk menteri dan Exco
kerajaan negeri, mereka telah berikrar melaksanakan tugas mengikut
perlembagaan yang ditetapkan.
"Ikrar berkenaan yang menyatakan sumpah dengan nama Allah sebanyak tiga
kali merupakan sumpah yang perlu dilaksana... kalau dia melanggar
sumpah, maknanya dia dilaknat Allah.
"Bila kita bersumpah selagi sumpah itu tidak melanggar syarak, wajib
kita laksanakan... kalau bersumpah untuk melakukan benda melanggar
syarak, wajib dia batalkan sumpah," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan rokok elektronik atau lebih
dikenali sebagai 'vape', Harussani berkata setiap sesuatu yang
mendatangkan bahaya terhadap kesihatan adalah haram menurut Islam.
"Setakat ini belum lagi (dikeluarkan fatwa rasmi)... jika ada orang
minta untuk keluarkan fatwa, kita (Majlis Fatwa Kebangsaan) akan panggil
bahagian pendidikan dan kesihatan untuk terangkan kepada kita, baru
buat (keluarkan) fatwa," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment