Thursday, August 20, 2015
Hubungan Kerajaan Kedah-Persekutuan Baik - MB
ALOR SETAR : Hubungan antara kerajaan Kedah dan kerajaan Persekutuan pada
masa ini tidak berhadapan dengan sebarang masalah dan berada dalam
keadaan baik, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Beliau berkata dakwaan pihak tertentu menyatakan hubungan kerajaan Kedah
dan Persekutuan tidak berapa baik serta renggang adalah tidak benar.
"Saya ingin melaporkan, hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan
persekutuan sememangnya baik dan tidak menghadapi sebarang masalah,"
katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung
kasih titah ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku
Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah pada perasmian persidangan DUN,
dua hari lepas.
Mukhriz berkata selagi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bersikap
profesional, hubungan kedua-dua pihak tidak akan menghadapi masalah.
Berucap pada perasmian persidangan DUN dua hari lepas, Tunku Sallehuddin
yang juga Tunku Temenggong, meminta hubungan antara kerajaan Kedah dan
kerajaan Persekutuan sentiasa dijaga dan dipelihara.
Baginda bertitah hubungan baik itu perlu kerana kerajaan negeri amat
memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan Persekutuan untuk
melonjakkan ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi.Kerajaan negeri
menurut Mukhriz, sentiasa membangkitkan kepada kerajaan Persekutuan
tentang projek-projek rakyat seperti pembukaan taman-taman industri yang
dapat menyediakan pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Kedah.
Beliau berkata Kedah telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan
Persekutuan tentang projek-projek pembangunan menerusi lisan, surat
serta sesi-sesi taklimat.
Antaranya, kata Menteri Besar sesi taklimat Unit Perancang Ekonomi
(UPEN) yang diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
ketika beliau melawat Kedah tahun lepas.
Selain itu, katanya Najib turut diberikan taklimat tentang cadangan
pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) ketika mesyuarat
majlis ekonomi di ibu negara.
Mengenai kedudukan beberapa projek ikonik Kedah yang tidak dimasukkan di
dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), beliau berkata ia tidak
bermakna projek itu tidak akan dilaksanakan oleh kerajaan.
Beliau memberi contoh projek minyak dan gas Pengerang yang tidak pernah
disebut dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10, tetapi sehingga
kini sebanyak RM10 bilion telah dibelanjakan untuk projek terbabit.
Mukhriz juga berkata, kerajaan negeri mempunyai beberapa pilihan untuk
membiayai pembinaan KXP termasuk menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta
(PFI), sekiranya kerajaan Persekutuan menghadapi masalah untuk
membiayainya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Persekutuan tidak menolak cadangan pembinaan KXP itu.
DUN Kedah meluluskan usul menjunjung kasih titah ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment