Thursday, August 27, 2015
Huru-hara Dijangka Wujud Di Perhimpunan Haram Bersih 4 – Nur Jazlan
KUALA LUMPUR : Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak
kemungkinan akan wujud kumpulan yang akan mencetuskan huru-hara
dalam perhimpunan haram Bersih 4.0 bermula Jumaat hingga Sabtu ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata
kemungkinan anarki dalam perhimpunan haram berkenaan bertujuan
mencetuskan provokasi terhadap polis supaya pihak berkuasa menggunakan
kekerasan terhadap peserta.
“Tindakan provokasi berkenaan adalah untuk menyebabkan polis
dipersalahkan kerana menggunakan kekerasan terhadap peserta perhimpunan
haram itu sekali gus akan meningkatkan kebencian pada pihak berkuasa dan
kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Nur Jazlan berkata polis akan menggerakkan kira-kira 4,000 anggota
bagi memastikan ketenteraman awam serta keselamatan rakyat ketika
perhimpunan haram berkenaan.
Katanya perhimpunan berkenaan yang turut diadakan di beberapa
tempat sekitar Kuala Lumpur selain Kuching dan Kota Kinabalu membabitkan
kos tinggi berjuta ringgit terhadap kerajaan berikutan ia perlu
menggerakkan sejumlah besar anggota polis serta kelengkapan semata-mata
untuk mengawasi peserta perhimpunan berkenaan.
Nur Jazlan berkata lebih menyedihkan apabila peserta Bersih 4 itu
sebenarnya diperalatkan oleh pembangkang yang menjadikan mereka sebagai
alat politik untuk menumbangkan kerajaan.
“Saya melihat persamaan dengan perhimpunan Bersih tahun 2012, di
mana pemimpin Bersih ketika itu dengan penyertaan parti politik
pembangkang sudah merosakkan matlamat untuk berhimpun secara aman
apabila tercetusnya kekacauan.
“Sebenarnya apa yang diperkata penganjur perhimpunan berkenaan
sebagai hak untuk berhimpun serta mempunyai usaha murni adalah
pembohongan semata-mata kerana terbukti ia didalangi ahli politik
pembangkang,” katanya.
Beliau berkata rakyat boleh membuat pilihan mengenai kerajaan pilihan mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Katanya motif berhimpun secara haram itu dengan cuba mengambil
semangat menyambut Hari Kebangsaan 2015 adalah demi kepentingan
segelintir pihak yang jelas mengenepikan hak majoriti rakyat Malaysia
yang hidup aman dan tenteram.
“Saya benar-benar berharap supaya rakyat Malaysia tidak terpedaya
dengan menyertai perhimpunan haram Bersih 4 ini kerana kemungkinan
kekacauan berlaku amat tinggi disebabkan kita tidak mengetahui latar
belakang peserta demonstrasi berkenaan yang mungkin terdiri daripada
kumpulan yang mahu mengambil kesempatan menimbulkan huru-hara.
“Atas sebab itu, pihak polis tidak bersetuju dengan kaedah
demonstrasi kali ini kerana tiada sesiapa yang jelas boleh
dipertanggungjawabkan apabila menanggung kecederaan dan berlaku kerosakan harta benda,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment