Sunday, August 02, 2015
Ingatan Keras!!!! GHB Diingat Tak Guna Premis PAS Untuk Tarik Sokongan - Tuan Ibrahim
KUALA LUMPUR : Pimpinan Gerakan Harapan Baru (GHB) diingatkan tidak
menggunakan platform PAS sebagai penggerak program mereka untuk menarik
dan mempengaruhi anggota parti berteraskan Islam itu.
Selain itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata
jawatankuasa pusat juga telah mengeluarkan arahan supaya anggota parti
tidak terlibat dengan GHB.
"Kita telah keluarkan arahan rasmi supaya ahli-ahli PAS tidak terlibat
dengan GHB dan kita tak benarkan premis parti dipergunakan oleh GHB,"
katanya kepada Antarapos.
Beliau turut menasihatkan wakil rakyat PAS yang bersama GHB agar
berpegang kepada bai'ah dan tidak melanggar sumpah taat setia tersebut.
"Jadi wakil-wakil rakyat yang menang itu dia menang atas nama parti bukan individu masing-masing.
"Bila dia keluar tinggalkan parti dia melanggar bai'ah, bagi pihak parti
itu ikatan kita dengan Allah dan kalau dia nak keluar juga dia kena
tanggunglah apa-apa risiko daripada bai'ah tersebut," katanya.
Tuan Ibrahim mengulas desakan daripada PAS agar Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) dan ahli Parlimennya yang mahu menyertai GHB supaya
meletakkan jawatan.
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamed dilaporkan berkata,
mereka perlu meletakkan jawatan bagi mengelakkan pendapatan syubhah.
Antara wakil rakyat yang sudah mengesahkan akan keluar PAS dan menyertai
GHB setelah didaftarkan sebagai parti ialah ADUN Morib Hasnul
Baharuddin.
Difahamkan lebih ramai ADUN dan ahli Parlimen PAS akan menyertai GHB.
Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata PAS belum mengambil tindakan
sehingga kini kerana GHB belum didaftar sebagai parti politik dan
diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Kalau kita pecat ia tidak terikatlah, lagipun GHB ini belum daftar
sebagai parti politik lagi dan kedudukan dia masih lagi ahli PAS,"
katanya.
Beliau menambah pihaknya ada menghubungi wakil rakyat PAS yang bersama
GHB untuk menasihatkan agar tidak keluar daripada parti dan menghormati
bai'ah yang telah dilafazkan.
"Kita ada hubungi mereka untuk mengingatkan tanggungjawab kepada parti
sebab dia masih ahli PAS. Jadi mereka perlu hormati tanggungjawab kepada
parti.
"Kalau dia melanggar contohnya dia keluar daripada PAS ataupun dia
daftar GHB sebgai parti politik ia akan gugur keahlianlah," katanya.
Ujar Tuan Ibrahim lagi, badan perhubungan PAS negeri juga diminta
memantau dan menghantar laporan tentang penglibatan ahlinya dengan GHB
kepada jawatankuasa pusat.
"Hingga setakat ini kita tidak bercadang ambil tindakan dan kita masih menunggu laporan daripada negeri-negeri.
"Kita minta negeri-negeri memantau dan menghantar laporan kepada PAS Pusat," katanya.
Untuk rekod, GHB yang telah mengemukakan permohonan pendaftaran sebagai
sebuah parti politik, dilihat sebagai pengganti PAS dalam gabungan
pembangkang Pakatan Rakyat selepas DAP dan PAS memutuskan hubungan.
Rakan kongsi ketiga dalam Pakatan Rakyat ialah PKR.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment