Monday, August 17, 2015
Ini kisah MB Kedah ketika di Perak
Ini kisah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berada
di Kampar, Perak merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Kampar.
Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kampar di RTC Gopeng pada Ahad jauh lebih diperhatikan daripada bahagian-bahagian yang lain.
Sudah ada ramalan bahawa MB Kedah itu akan mengkritik Presiden dan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu dana politik
berjumlah RM2.6 billion dan isu 1MDB.
Inilah juga rasanya satu-satu bahagian UMNO di Perak yang memanggil
beliau bagi tujuan itu berbanding bahagian-bahagian lain yang lebih
gemar mengundang para menteri atau timbalan menteri.
Pada ketika UMNO Kampar bersidang, sebelah petang Perdana Menteri berada
di Gerik merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian itu.
Untuk rekod, UMNO Gerik berdiri teguh dan menyokong kepimpinan Najib.
Ini dinyatakan dalam ucapan ringkas Ketua bahagian Datuk Hasbullah
Osman.
Tidak macam Gerik, Kampar mengambil pendekatan berlainan. Maklumlah
kebanyakan bahagian tidak mahu kelihatan melawan arus dengan pucuk
pimpinan jika mengundang tokoh-tokoh seperti TS Muhyiddin Yassin, DS
Shafie Apdal atau Muhriz merasmikan mesyuarat mereka.
Kita diberitahu ada sebuah bahagian di Lembah Kinta membatal undangan kepada Shafie merasmikan bahagian mereka.
Justeru kemunculan Mukhriz di Kampar yang pernah tewas kepada Khairy
Jamaluddin untuk jawatan Ketua Pemuda dan gagal menjadi salah seorang
Naib Presiden UMNO dalam pemilihan lalu menjadi bahan perbualan.
Bukan itu sahaja kebanyakan perwakilan yang kelihatan “kurang senang”
dengan isu 1MDB dan isu RM2.6 billion teruja mendapat maklum balas dari
satu-satunya anak lelaki bekas Perdana Menteri itu.
Sebaik tampil memberikan pandangan dan mengulas mengenai pelbagai isu
panas, Mukhriz seperti tidak dapat mengelak dari memberikan persepsi
berlainan dari kebanyakan pemimpin UMNO.
Kita lihat sebagai contoh kebanyakan pemimpin UMNO (yang berstatus
menteri atau timbalan menteri dalam kabinet PM DS Najib Razak) ketika
merasmikan mesyuarat meminta agar ahli-ahli parti memberikan sokongan
terhadap pucuk pimpinan agar parti kembali teguh.
Contohnya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Dungun
Sabtu Menteri Besar Perak DS Dr.Zambry Abd Kadir meminta ahli-ahli UMNO
supaya “berhenti mengkritik Presiden UMNO” dalam isu-isu RM2.6 billion
atau isu 1MDB.
Selain meminta ahli-ahli memberikan sokongan kepada PM, tokoh UMNO Perak
yang juga ahli MT UMNO itu meminta mereka “memberikan secukup masa
kepada Presiden UMNO itu menyelesaikan masalah parti dan negara.”
Begitu juga dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, yang
ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Tasik Gelugor yakin
Perdana Menteri mampu menghadapi serangan dalam atau luar parti.
Manakala, ahli MT yang juga Menteri Pertanian yang baru, DS Ismail Sabri
berkata desakan pelbagai pihak termasuk Muhyiddin agar Perdana Menteri
mendedahkan baki dana politik berjumlah RM2.6 billion “menguntungkan
pihak pembangkang.”
Bahkan Ketua UMNO bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md.Yunos meminta
bekas TPM itu tidak membincangkan perkara berkenaan (RM2.6 billion dan
1MDB) secara terbuka kerana “boleh memberi kesan tanggapan negative
kepada presiden.”
Tidak keterlaluan jika kita katakan selain Mukhriz, Tan Sri Muhyiddin
Yassin dan DS Shafie Apdal,adalah antara tokoh-tokoh UMNO yang membuat
kenyataah “sinis dan keras” terhadap Perdana Menteri.
Dalam hal ini, Mukhriz berpendapat isu RM2.6 billion “haruslah
ditangani secepat mungkin kerana ia membabitkan integriti parti yang
boleh menimbulkan kegusaran di kalangan rakyat terhadap UMNO.”
Beliau berpendapat dia berasa “tidak sedap hati mengenai pengurusan isu
kewangan itu yang semakin menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap
integriti parti buat masa ini.
"Macam mana kita nak berdepan dengan rakyat, beria-ia mengutarakan asas
perjuangan agama, bangsa dan tanah air tetapi integriti kita
dipertikaikan.
"Saya harap perkara ini diselesaikan dengan secepat mungkin kerana ia melibatkan integriti rakyat, integriti UMNO," katanya.
Beliau berkata, pihak yang mengendalikan perkara ini sewajarnya
menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin agar keyakinan dan
kepercayaan rakyat terhadap parti dapat dipertahankan.
"Kitalah satu-satunya parti yang memajukan bangsa, agama dan tanah air
serta perjuangan kaum Melayu tetapi pada masa yang sama kewibaan kita
dipertikaikan.
"Nak cakap perjuangan....kalau kita sendiri tak dapat nak jamin, macam mana kita nak berikan kepada rakyat? ujarnya.
Beberapa perkara yang agak sensitif untuk dibicarakan katanya namun
ahli-ahli UMNO “tidak perlu berasa gusar atau bimbang malah harus berani
kerana benar.”
Menurut beliau lagi ahli-ahli UMNO perlu menyedari rakyat bukanlah
tidak mengetahui atau memahami apa-apa justeru setiap soalan yang
dikemukakan harus dikendalikan dengan bijak.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment