Wednesday, August 19, 2015
Isu Air: Azmin Tidak Berkeupayaan Mentadbir, Kata Khalid
Kerajaan Selangor boleh dianggap mengkhianati janji manifesto mereka
dalam dua kempen pilihan raya umum yang lalu sekiranya pemberian air
percuma kepada semua penduduk negeri itu dibatalkan, kata bekas menteri
besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
ADUN Pelabuhan Klang itu berkata pada masa sama, tindakan sedemikian
juga akan mempamerkan ketidakupayaan Menteri Besar Selangor Mohamed
Azmin Ali dalam mencapai keseimbangan antara kebajikan rakyat dan
kewangan negeri.
"Ia bakal menyerlahkan ketidakupayaan menteri besar mencapai
keseimbangan serentak antara menyediakan kusyen dalam mengharungi
kenaikan kos sara hidup dan memastikan belanjawan berimbang dan
pengumpulan rizab berterusan.
"Ini sangat bercanggah dengan ura-ura kononnya pemberian air percuma
akan dinaikkan pada 40 meter padu sebaik penstrukturan selesai seperti
diumumkan menteri besar Disember lalu," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA)
Datuk Dr Jacob George berkata kerajaan negeri tidak sepatutnya menghukum
seluruh rakyat Selangor hanya kerana segelintir pengguna tidak
memanfaatkan program yang menelan belanja RM120 juta setahun itu.
Katanya, kredibiliti pembangkang sebagai kerajaan negeri juga akan turut
dipersoalkan kerana program berkenaan diperkenalkan mereka sendiri.
Azmin pada Isnin berkata, Selangor mahu meneliti semula pemberian air
percuma 20 meter padu sama ada program itu benar-benar menepati hasrat
asal yang bertujuan membantu rakyat.
Menteri besar Selangor itu berkata, kerajaan negeri menerima rungutan
program yang menelan belanja RM120 juta setahun itu tidak dimanfaatkan
sebilangan rakyat.
"Dia guna bukan untuk diri dia tetapi berkebun, kolam renang sedangkan
rakyat miskin yang tiada kolam air tidak mendapat manfaat," katanya di
Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam Isnin lalu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment