Wednesday, August 19, 2015
Isu Air: Bagaikan Tarik Semula Janji
SHAH ALAM : Pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu di negeri ini
mungkin terjejas jika kerajaan negeri bercadang menaikkan tarif air,
demikian reaksi penganalisis politik.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Peniagaan Universiti Teknologi
Mara (UiTM), Dr Baayah Baba berkata, jika tarif air dinaikkan, pemberian
air percuma tidak mampu bertahan lama.
"Ia ternyata boleh menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan negeri.
Lambat laun subsidi air sudah pasti akan dimansuhkan," katanya.
Baayah berkata, cadangan berkenaan juga membuatkan rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan negeri.
“Kelebihan pada rakyat akan kurang sebab masa pilihan raya lalu mereka
berjanji nak berikan air percuma, tetapi ditarik balik pula.
“Mereka yang berpendapatan rendah pasti akan marah terutama yang mengharapkan bantuan air percuma,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kerajaan negeri boleh menarik balik pemberian air percuma,
tetapi bukan kepada mereka yang miskin dan berpendapatan rendah.
Katanya, bayaran air sepatutnya dikenakan kepada golongan yang mampu dan tinggal di kawasan tertentu sahaja.
Baayah bagaimanapun tidak menafikan, pembatalan pemberian air percuma
itu boleh membantu kerajaan negeri melakukan banyak penjimatan.
“Bayangkan kalau mereka dapat kutip RM10 satu rumah, berapa banyak dah kerajaan negeri dapat berjimat,” katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia
Sarawak (UMS), Prof Dr Shazali Abu Mansor pula menyatakan pandangan
berbeza.
Menurut Shazali, jika berlaku penarikan semula air percuma, ia tidak
akan membebankan rakyat, sebaliknya dapat membantu kerajaan negeri
mengelak pembaziran air.
“Rakyat akan mengambil mudah jika mereka diberikan air percuma kerana menganggap sumber semula jadi berkenaan tidak berharga.
“Kalau dikenakan bayaran, mereka tak akan menggunakannya sesuka hati dan
menggunakannya dengan bijak malah sumber air juga dapat dijimatkan
dengan sebaik mungkin,” katanya.
Menurutnya, pemberian air percuma banyak memberi kesan negatif kerana
orang ramai cenderung mengambil mudah atas kelebihan berkenaan.
“Kalau subsidi ini tak diberikan lagi mentaliti membazir dapat
dihapuskan dan ia membantu kerajaan negeri menjimatkan perbelanjaan,”
katanya.
Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Ismail Sualman pula berkata, jika
wujud usul menarik balik pemberian air percuma ia bertentangan dengan
manifesto kerajaan negeri yang menawarkan kebajikan untuk rakyat.
Katanya, rakyat pasti akan mengungkit janji dalam pilihan raya lepas dan
menganggap pentadbiran kerajaan negeri tidak menepati janji.
“Tidak adil untuk rakyat apabila subsidi yang diberikan ditarik balik
kerana air adalah adalah anugerah ALLAH yang sepatutnya diberikan secara
percuma.
“Perkara ini membebankan rakyat dan melambangkan betapa tidak cekapnya kerajaan negeri dalam menangani isu air,” katanya.
Menurutnya, isu tidak timbul jika kerajaan negeri tidak main tarik tali
dengan kerajaan pusat bagi menangani masalah air terutama dalam hal yang
berkaitan dengan Langat 2.
“Kerajaan negeri harus mempercepatkan pembinaan Langat 2 dan bukan melewat-lewatkannya dengan memberikan banyak alasan.
“Kalau kerajaan negeri masih berdegil untuk meneliti perjanjian dan buat
mengikut cara mereka, selagi itulah rakyat akan berdepan dengan masalah
air,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment