Friday, August 21, 2015
Kedah Cadang Turunkan Kadar GST Kepada 3%... Ramai Yang Menyokongnya
ALOR SETAR : Kerajaan negeri Kedah mencadangkan kepada kerajaan
persekutuan supaya menurunkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)
daripada enam peratus kepada tiga peratus.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kadar tiga
peratus itu dicadang kekal untuk beberapa tahun sehingga rakyat sudah
biasa dengan cukai terbabit.
"Saya juga mencadangkan supaya kerajaan persekutuan mempertimbangkan
untuk mengagihkan hasil daripada GST itu dengan negeri-negeri yang
miskin seperti Kedah. Ia tidak pelik kerana telah pun diamalkan di
Australia," katanya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Alor Setar
semalam.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung
kasih titah ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku
Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah di pembukaan sidang DUN dua hari
lepas.
Mukhriz berharap cadangan itu dipertimbangkan oleh kerajaan persekutuan kerana terdapat banyak rungutan dan aduan daripada rakyat tentang
bebanan yang terpaksa ditanggung akibat pelaksanaan GST pada 1 April
lepas.
Mengenai isu integriti anggota Exco Kedah pula, beliau berkata, mereka
telah diminta mengisytiharkan pegangan harta mereka sebaik sahaja
dilantik ke jawatan terbabit dua tahun lepas.
Sebagai Menteri Besar, beliau memegang semua maklumat tentang pengisytiharan harta barisan exconya.
"Kita pantau turun naik harta (dimiliki anggota exco) itu setiap tahun,
jadi kalau ada penurunan atau peningkatan kita akan tahu," katanya.
Beliau memberi jaminan akan mengambil tindakan sekiranya terdapat
keraguan tentang pemilikan harta atau kewibawaaan anggota exconya.
Mukhriz juga berkata Kedah telah muncul sebagai negeri pertama yang
menandatangani aku janji integriti bersama Jabatan Integriti yang
menandakan betapa kerajaan negeri amat mementingkan tentang isu
integriti.
DUN Kedah meluluskan usul menjunjung kasih titah ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment