Wednesday, August 19, 2015
Kerajaan Selangor Didesak Jawab Langkah Untuk Atasi Masalah Air
SEMENYIH : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk
Johan Abd Aziz berharap kerajaan negeri Selangor tidak terus
bersandiwara dan bermain politik terhadap permasalahan isu air yang
dihadapi oleh rakyat negeri itu.
Jelasnya, kerajaan negeri harus memberi jawapan yang konkrit terhadap
langkah jangka pendek mengatasi masalah air di negeri itu akibat
daripada kelewatan pembinaan Loji Langat 2.
“Kelewatan ini adalah disebabkan sikap kerajaan negeri juga yang
salah bermain politik. Kini baru mereka menyedari bahawa rancangan
kerajaan pusat untuk membina Langat 2 adalah tepat tetapi kesedaran
mereka itu agak terlewat.
“Projek yang sepatutnya telah siap kini tertangguh lagi untuk
beberapa tahun dan akibatnya rakyat yang terpaksa tanggung. Jadi,
kerajaan negeri harus memberi jawapan apakah langkah jangka pendek
mereka bagi mengatasi masalah air terutamanya di DUN saya.
“Mereka menggelar negeri ini sebagai negeri berkebajikan jadi
buktikanlah… jangan berkebajikan hanya pada nama tapi rakyat terus
menderita. Empat tahun bukan satu jangka masa pendek,” ujarnya kepada
UMNO-Online.
Tambah Johan yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat,
beliau tidak akan berputus asa dan akan terus mendesak kerajaan negeri
‘bertanggungjawab’ terhadap perbuatan mereka sendiri yang menyebabkan
pembinaan Langat 2 terbantut.
Akibat daripada terlalu taksub mencari salah dan memandang semua
perbuatan kerajaan pusat tidak betul tegasnya, mereka menjadi prejudis
dan akhirnya rakyat negeri Selangor menjadi mangsa.
Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor, Azmin Ali mengakui bahawa
masalah air di Selangor bukanlah disebabkan oleh bekalan air mentah
tetapi berpunca akibat kekurangan loji rawatan air dan keadaan itu
menyebabkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 perlu disegerakan.
Perjanjian Langat 2 yang telah dipersetujui antara kerajaan pusat dan
Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim terbantut apabila
Azmin Ali mengambil alih tampuk pimpinan negeri itu.
Semua perjanjian tersebut dibekukan dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment