Wednesday, August 19, 2015
Terbaiklah Rakyat Perlis..... Lapangan Terbang Akan Dibina Di Perlis – MB
KANGAR : Sebuah lapangan terbang akan dibina di negeri ini sebagai satu
daripada pemangkin utama bagi melonjakkan pembangunan negeri, kata
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.
Lapangan terbang berkenaan akan dibina di kawasan pertumbuhan baharu
Chuping sejajar dengan usaha kerajaan negeri menjadikannya sebagai
kawasan hab pembangunan, katanya dalam ucapan pada Perhimpunan Bulanan
untuk kakitangan perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan di Dewan 2020
di sini, Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri Romli Dai yang
turut melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari
Kebangsaan 2015.
Perhimpunan yang dihoskan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Pauh itu
turut dihadiri para Exco Kerajaan Negeri, anggota-anggota Dewan Undangan
Negeri, ketua-ketua jabatan, para pengetua dan guru besar serta
pemimpin masyarakat.
Tanpa menyatakan kos dan keluasan kawasan lapangan terbang yang akan
dibina itu, Menteri Besar berkata lapangan terbang berkenaan adalah
untuk pendaratan kapal terbang penumpang bersaiz kecil bagi memudahkan
kedatangan para pelabur dari dalam dan luar negara.
Katanya, pembinaan lapangan terbang berkenaan serentak dengan pembinaan
kemudahan-kemudahan infrastruktur lain seperti jalan raya, bekalan
elektrik, air dan tapak perindustrian berasaskan industri hijau.
Beliau berharap dengan adanya lapangan terbang tersebut, ia akan membantu membangunkan Perlis menjadi sebuah negeri maju.
Dalam pada itu, beliau amat mengharapkan sokongan dan kerjasama semua
kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini agar hasrat itu benar-benar
menjadi kenyataan.
Pada majlis itu, Romli yang mewakili Azlan menyampaikan Jalur Gemilang
kepada wakil jabatan-jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, badan
berkanun, pihak swasta dan wakil-wakil kaum g terdapat di negeri ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment