Thursday, August 20, 2015
Kerajaan Sokong Kebebasan Bank Negara Urus Dasar Monetari Negara – Najib
Kerajaan
akan tetap menyokong kebebasan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam
mengurus dasar monetari negara, di samping tanggungjawab lain yang
diadatkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Beliau berkata kerajaan Malaysia juga komited dalam meneruskan
langkah-langkah pembaharuan dan pengukuhan kedudukan fiskal, termasuk
meneruskan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan
pengurangan defisit fiskal secara berperingkat ke arah mencapai bajet
seimbang menjelang 2020.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan tidak akan
memperkenal kawalan modal atau tambatan ringgit memandangkan asas
ekonomi negara yang kukuh dan persekitaran yang berbeza berbanding
semasa krisis kewangan Asia pada 1997-1998.
“Sudah menjadi tanggungjawab BNM untuk menguruskan dasar monetari
negara.
Sehubungan itu, kerajaan tetap menyokong kebebasan BNM tersebut
di samping lain-lain tanggungjawab yang dimandatkan,” katanya pada
sidang media di Perdana Putra di sini.
Najib berkata kerajaan telah memantau dengan teliti perkembangan
terkini pasaran kewangan, termasuk pergerakan mata wang, dan jemaah
menteri dan Majlis Ekonomi telah membincangkan secara terperinci
mengenai perkara tersebut.
Katanya Gabenor BNM Tan Sri Zeti Akhtar Aziz juga telah memberikan
taklimat khas kepada Majlis Ekonomi pada 17 Ogos dan Jemaah Menteri pada
19 Ogos manakala semalam, beliau mengadakan perbincangan dengan pakar
ekonomi dan penganalisis dari dalam dan luar negara untuk mendapatkan
penilaian mengenai situasi ekonomi dan pasaran kewangan.
Najib berkata susulan perbincangan tersebut, kerajaan mengambil
ketetapan bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh seperti yang
dicerminkan dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua 2015 yang diumumkan minggu lepas.
Katanya struktur ekonomi terus kukuh didokong sektor perkhidmatan dan
pembuatan yang menyumbang 76.6 peratus kepada KDNK sungguhpun
sektor-sektor perlombongan termasuk minyak dan gas serta pertanian
berkurang kepada 17.9 peratus daripada KDNK.
“Struktur ekonomi yang kini dipelbagaikan telah mengurangkan pergantungan hasil kerajaan ke atas minyak dan gas,” katanya.
Beliau berkata langkah kepelbagaian ekonomi tersebut membolehkan
hasil berkaitan minyak dikurangkan daripada 41 peratus pada tahun 2009
kepada bawah paras 30 peratus pada tahun lepas.
“Dalam hal ini, kerajaan akan meneruskan program transformasi ekonomi
bagi mengukuhkan struktur dan kepelbagaian ekonomi,” katanya.
Najib berkata keadaan pasaran buruh di negara ini kekal stabil dengan
kadar pengangguran rendah 3.1 peratus pada Mei 2015, dan kadar inflasi
kekal pada paras yang rendah.
“Daya tahan sistem kewangan kekal utuh. Pasaran kewangan domestik
terus berfungsi dengan teratur dan aktiviti pengantaraan kewangan terus
berfungsi dengan cekap, memenuhi keperluan kewangan dan pembiayaan
ekonomi dalam negara,” katanya.
Mengenai maklum balas sektor swasta ke atas kedudukan ekonomi
Malaysia, Najib berkata mereka memahami dasar dan pendekatan mesra
pasaran yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Pada asasnya mereka senang dengan dasar ini, dan mereka juga menyedari bahawa faktor luar banyak menjejaskan ringgit,” katanya.
Ditanya sama ada ketidaktentuan pergerakan Ringgit menjejaskan pelaburan ke Malaysia, Najib berkata pelaburan masih kukuh.
“Kita harap mereka (pelabur) dapat melihat kepada jangka masa pendek
dan panjang di mana pengukuhan ekonomi, penyepaduan fiskal, bajet
seimbang dan pembaharuan, akan memastikan kesan ekonomi yang lebih
mantap,” katanya.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment