Friday, August 21, 2015

Kewujudan DEIG Timbulkan Seribu Persoalan dan Kemusykilan – Budiman

21 Ogos 2015, Shah Alam : Penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) tetap diteruskan oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali biarpun ianya mendapat tentangan dan kritikan bukan sahaja daripada Adun Barisan Nasional (BN), tetapi turut menerima tentangan daripada Adun Dap dan juga Adun PKR, demikian jelas Adun Sungai Panjang, Budiman Zohdi.

Shah Alam, 21 Ogos--ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi menjawab pertanyaan wartawan dalam sidang media berhubung isu penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DIEG) yang menimbulkan keraguan dan mendapat tentangan daripada ADUN Barisan Nasional, Pas dan Dap di Bangunan UMNO Selangor malam semalam. - Foto : MediaUMNO
Shah Alam, 21 Ogos–ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi menjawab pertanyaan wartawan dalam sidang media berhubung isu penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DIEG) yang menimbulkan keraguan dan mendapat tentangan daripada ADUN Barisan Nasional, Pas dan Dap di Bangunan UMNO Selangor malam semalam. – Foto : MediaUMNO

Menurut beliau, penubuhan syarikat DEIG ini telah menimbulkan keraguan dan kecurigaan memandangkan syarikat ini mempunyai kuasa untuk menjalankan aktiviti perniagaan dan jual beli bagi aset Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang dianggarkan berjumlah RM30 bilion.

“DEIG yang diberi kuasa untuk menjalankan urus niaga bagi sebarang aset yang dimiliki oleh MBI hanyalah sebuah syarikat biasa di mana ianya tidak memerlukan audit dan tidam perlu menyerahkan laporan kedudukan kewangan termasuk aktiviti perniagaan mereka kepada kerajaan negeri.

“Dalam hal ini, sudah pastinya DEIG berisiko tinggi untuk terdedah kepada sebarang penyalahgunaan kuasa dari segi ketelusan maklumat mengenai kewangan secara khususnya dan keputusan lain-lain yang melibatkan aset MBI secara amnya.

“Malah penjelasan MB Selangor berhubung peranan DEIG yang mempunyai kuasa untuk menjalankan urus niaga dengan menggunakan aset MBI itu juga tidak cukup jelas dan meyakinkan.

“Dalam isu DEIG ini, bukan hanya Adun BN sahaja yang menyuarakan kebimbangan dan memohon agar ianya ditangguhkan, malah Adun dari Dap, Pas termasuklah Adun PKR sendiri mempunyai pandangan yang sama berhubung soal ini,” jelas beliau di dalam satu sidang akhbar di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.

Tambahnya lagi, kewujudan DEIG ini seolah-olah mempunyai agenda tersirat yang mencetuskan seribu persoalan berhubung keperluan sebenar mewujudkan syarikat tersebut.

“Kita bimbang sekiranya DEIG ini diwujudkan bukanlah untuk meningkatkan pelaburan negeri atau ianya hanya diwujudkan untuk kepentingan pihak tertentu saja.

“Bahkan dua individu yang dinamakan sebagai pemilik syarikat tersebut tidak diketahui umum latar belakangnya telah menimbulkan keraguan dan kebimbangan kita berhubung ketelusan dan kelayakan dan kepakaran mereka untuk menguruskan urusan jual beli aset-aset MBI yang berjumlah RM30 bilion itu,” jelasnya.

Beliau seterusnya meminta agar MB Selangor menangguhkan dulu aktiviti DEIG ini dan terlebih dulu membentangkan kertas putih di Dewan Undangan Negeri agar semua Adun BN, Dap, PKR dan Pas faham akan keterjaminan pelaburan aset MBI yang dikuasai oleh DEIG.

“Banyak persoalan yang kita mahu dengar jawapan dari MB, contohnya pertindahan hak dan peranan Invest Selangor Berhad dalam mempromosikan aktiviti pelaburan di negeri ini.

“Begitu juga dengan persoalan bagaimanakah status aset MBI sekiranya ia dipindahkan dan diurus oleh DEIG dan kemudiannya berlaku sesuatu di luar jangkaan seperti pertukaran kerajaan dan DEIG sebagai sebuah syarikat membuat resolusi tiada kaitan dengan MBI.

“Sebagai sebuah syarikat biasa, DEIG boleh melakukan perkara sedemikian dan sudah pasti segala aset MBI yang diuruskan oleh DEIG akan menjadi milik syarikat tersebut. Sebab itulah kita minta MB tangguh sehingga beliau buat penjelasan dan saya pasti ada banyak lagi soalan yang perlu dijawab beliau berhubung soal DEIG ini,” ujarnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment