Tuesday, August 18, 2015
MALAYSIAKINI Dibiayai Untuk Burukkan Kerajaan?
KUALA LUMPUR : Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
mempertikaikan sumber dana yang diperoleh portal berita Malaysiakini
ekoran tindakan melampau portal berkenaan dalam menyiarkan
laporan-laporan palsu yang dilihat boleh menggugat perpaduan rakyat.
Ketua Pengarah Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Wilayah Persekutuan,
Faizan Mohd. Nor mempersoalkan, adakah portal tersebut ‘ditaja’ oleh
pihak tertentu untuk sengaja menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung
kerajaan bagi mempengaruhi kepercayaan rakyat terhadap barisan
kepemimpinan negara.
“Malaysiakini seolah-olah tidak takut atau bimbang dikenakan tindakan
undang-undang apabila menyiarkan berita-berita yang jelas tidak sahih
dan semata-mata untuk kelirukan rakyat mengenai kerajaan.
“Adakah portal berita itu ada menerima pembiayaan daripada mana-mana
pihak yang berniat menggunakan medium media untuk jatuhkan kerajaan hari
ini dan jika perkara itu didapati benar, mereka (Malaysiakini) sudah
tersilap langkah,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Semalam, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk
Nadzim Johan menggesa pihak berkuasa mengenakan tindakan paling tegas
terhadap Malaysiakini yang dilihat mampu menghancurkan perpaduan dan
menanam sifat kebencian yang tebal dalam kalangan masyarakat menerusi
penyiaran laporan palsu.
Mengulas lanjut, Faizan menyatakan portal berita tersebut seharusnya
menjadi wadah maklumat yang benar dan jelas untuk masyarakat terutama
dalam isu-isu semasa membabitkan pentadbiran kerajaan dan kesejahteraan
rakyat.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pemerkasaan Wanita Malaysia
(MyWomen), Datuk Geethanjali G. mendakwa bahawa portal berita berkenaan
sememangnya dilihat seakan-akan dijadikan alat untuk memburukkan
kerajaan oleh pihak-pihak tertentu.
Katanya, dengan dana yang disalurkan oleh pihak tertentu, Malaysiakini
seolah-olah diberi jaminan bahawa mereka tidak akan dikenakan sebarang
tindakan walaupun menyiarkan laporan tidak betul.
“Pasti ada dalang yang melindungi portal tersebut sehingga mereka berani untuk menulis berita yang tidak logik sumbernya.
Tetapi sehingga kini, dalang itu masih belum diketahui dan sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.
“Sampai bila ingin membiarkan portal tersebut menyiarkan laporan yang
boleh menjejaskan perpaduan rakyat? Kita perlu bertindak sebelum keadaan
menjadi semakin teruk,” jelasnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment