Tuesday, August 18, 2015

Mukhriz Jatuhkan Integriti UMNO Di Mata Rakyat Malaysia

EDITOR MENULIS...
18 OGOS 2015
Baru-baru ini saya dapat tahu bahawa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir menyampaikan ucapan lagi di Kampar, Perak. Berdegar-degar sungguh bunyi suara Menteri Besar Kedah itu 'menyokong' dan 'mempertahankan' Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Razak!

Sebetulnya saya meneliti isikandungan ucapan beliau tersebut dan bagai dikata, anak mantan Perdana Menteri itu mengulangi pertikaiannya tentang dana politik yang diterima Najib untuk membantu jentera UMNO pada tahun 2013 itu. Vokal sungguh beliau 'mempertahankan' Presiden dari persepsi negatif, kan?

Kata beliau, dana tersebut tidak dapat ditutup lagi kononnya kerana dipecahkan dari luar negara yang kononnya memalukan seluruh institusi UMNO. Beliau berkata, mulanya perkara tersebut dinafikan, tapi kemudiannya diakui. Kononnya gara-gara itu, beliau 'tidak tahu' menjawab sebarang persoalan mengenai RM2.6 bilion itu.

Kemudian, beliau mendakwa dana tersebut terlalu banyak jumlahnya dan kononnya ia tidak pula dikongsikan dengan UMNO, membayangkan seolah semuanya 'dibolot' oleh Najib! Kononnya, integriti UMNO telah tercalar. Kononnya, dana tersebut perlu dikongsi dengan rakyat jelata.

Begitulah lebih kurang bunyi 'retorik' Mukhriz 'membela' Najib dan institusi UMNO di depan perwakilan parti di Kampar. Saya benar-benar hairan dengan kenyataan Mukhriz itu. Walaupun selama ini ada yang mengatakan beliau bijak, namun beliau tidaklah sebijak mana....

Apabila pecah kisah mengenai dana politik berjumlah RM2.6 bilion itu dari media di luar negara, tidakkah beliau terfikir tentang wujudnya cubaan pihak tertentu untuk menjatuhkan integriti UMNO dengan kisah dana tersebut?

Ia secara tidak langsung membuktikan wujudnya gerakan terancang pihak tertentu untuk mencemar imej UMNO, bukan? Kenapa beliau tidak bertanya pada bapanya yang senada dengan propaganda menyerang Presiden UMNO itu? Atau Mukhriz tahu bapanya juga terlibat dalam gerakan 'antarabangsa' tersebut?

Selaku pemimpin UMNO, Mukhriz sepatutnya mempertahankan institusi UMNO dari terus dicemari pihak berkenaan, bukan turut senada dengan propaganda itu.

'Tidak tahu menjawab'? Takkanlah Mukhriz tidak tahu bahawa tuduhan pertama WSJ ialah mengaitkan tuduhan kononnya sebanyak RM2.6 bilion milik 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun Najib. Kononnya Najib 'merompak' wang 1MDB?

Maka sebab itulah Najib menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Wang tersebut bukan dari 1MDB sebagaimana yang dituduh WSJ dan Sarawak Reports. SPRM sendiri sahkan perkara itu dan mengatakan RM2.6 bilion itu datangnya dari Timur Tengah. Itu jelas. Takkanlah itu pun Mukhriz tidak jawab?

Seterusnya, diakui ada wang masuk sebanyak RM2.6 bilion dari Timur Tengah sebagai dana politik. Itu yang dipertikaikan Mukhriz? Bukankah dana politik itu merupakan satu perkara biasa dalam dunia politik? Bukan setakat di Malaysia, di seluruh dunia pun begitu.

Apakah Obama menjadi Presiden US menggunakan duit dari 'tabung gajah'nya yang dihimpun dari kecil? Ketika Tunku Abdul Rahman mahu ke London menuntut kemerdekaan dulu, apakah beliau menggunakan wang koceknya sendiri? Tidak, bukan? Itu satu kebiasaan.

Selama 22 tahun bapanya mentadbir negara sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, apakah Dr Mahathir tidak pernah menerima sebarang dana politik? Pada pandangan saya, untuk tempoh 22 tahun, mungkin dana yang pernah diterima Dr Mahathir itu lebih besar berpuluh-puluh bilion ringgit berbanding Najib, kan? Jadi, apa yang hendak dihairankan?

Dan kini Mukhriz mempertikai ke mana wang tersebut dibelanjakan? Apakah Mukhriz cuba memberitahu para perwakilan UMNO di Kampar kononnya Najib telah 'menggelapkan' wang tersebut secara peribadi dan tidak dikongsikan untuk kegunaan UMNO?

Setahu saya lah, selain Sarawak, semua 13 negeri termasuk di Wilayah Persekutuan mempunyai Badan Perhubungan UMNO sendiri. Apakah semua Badan Perhubungan UMNO Negeri itu punya dana sendiri untuk melaksanakan semua aktiviti, program, kempen dan segala 'mak nenek' yang diperlukan?

Malah, apakah Mukhriz sedar bahawa selain UMNO, Najib selaku Pengerusi BN juga bertanggungjawab untuk mencari dana bagi parti-parti komponen untuk menghadapi PRU ke-13 dan segala perbelanjaan lain sehingga hari ini?

Malah setahu saya, setiap Badan Perhubungan UMNO Negeri selama ini hanya tahu minta, minta, minta, minta dan minta peruntukan saja dari UMNO Pusat. Dan tugas UMNO Pusat pula hanya beri, beri, beri, beri, beri dan beri sahaja, bukan? Pernah Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah hulurkan dana politik untuk UMNO Pusat? Jangan mimpilah!

Jika lewat terima peruntukan atau jumlah yang diminta itu tidak cukup, tahu pula 'mengamuk'? Siap merungut di depan perwakilan di Kampar! Itulah sikap budak-budak apabila apa yang diminta tidak ditunaikan. Maklumlah, 'anak manja bapak'...

Apakah Mukhriz fikir RM2.6 bilion itu banyak untuk kegunaan UMNO dan BN di seluruh negara? 

Jika dibahagikan RM2.6 bilion itu dengan 14 buah negeri di Malaysia, setiap negeri hanya menerima sekitar RM186 juta sahaja. Apakah perlu Najib berikan semuanya kepada setiap negeri dan tidak menyimpan untuk kegunaan UMNO di peringkat pusat?

Tidak perlulah saya congakkan perkiraan RM2.6 bilion itu untuk Mukhriz. Jika diukur pada satu program Mahabbatur Rasul yang dianjurkan Mukhriz di Kedah sebelum ini, ia berjumlah hampir RM1 juta untuk satu program. Itu baru satu program sahaja. Dari tempoh 2013 hingga 2015, takkanlah Mukhriz hanya buat satu program saja, bukan?

Mungkin Mukhriz 'sakit hati' bila beliau rasa 'kantung' UMNO Kedah 'kering'? Kononnya 'wang tidak ada'. Mungkin benar. Namun, jika ditaksirkan dengan pencapaian UMNO Kedah yang dikatakan 'tidur diulit intan' bagaikan 'ular sawa kekenyangan', penulis sendiri rasa 'cuak' untuk menyalurkan dana kepada UMNO Kedah.

Sebuah syarikat yang tiada 'business', 'lembab', tapi berlagak pandai dan hebat beretorik di depan rakyat kononnya merekalah 'jaguh' dan popular, mungkin itulah nasibnya.

Mungkin Mukhriz perlu belajar dari Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah. Saya pernah diberitahu bahawa dulu, Dato' Seri Bashah ketika menjadi Pengerusi dan berhempas pulas keseorangan menawan Kedah kembali dari PAS, beliaulah yang bermuka tebal menempek muka meminta dana dari UMNO Pusat.

Khabarnya kadang kala, dana yang beliau minta 'dicincang', 'dikerat' mendapat kurang dari yang dipohon dan ada kalanya pulang dengan 'tangan kosong'. Tapi, 'skill orang lama' yang bijak berpolitik, beliau tidak pula mengeluh depan perwakilan UMNO di seluruh negara memburukkan Presiden atau mempertikai pucuk pimpinan UMNO.

Tidak perlu Mukhriz ajar Najib untuk memberi khidmat terbaik pada rakyat. Selama Najib mentadbir negara, darah Tun Razak yang mementingkan kebajikan rakyat terbawah mengalir dalam tubuhnya dan beliau sering menjadikan rakyat sebagai prioriti beliau.

Najib tidak seperti Dr Mahathir yang lebih suka mengkayakan kroni-kroninya dan hanya berkongsikan sedikit dengan rakyat bawahan. Pada pandangan saya, Najib lebih memberikan fokus kepada golongan di hierarki paling bawah rakyat berbanding taikun-taikun kesayangan bapa Mukhriz seperti Ananda Krishnan, Francis Yeoh, Vincent Tan, Eric Chia mahupun Mokhzani atau Mirzan...

Pada pandangan saya lagi, pemimpin UMNO seperti Mukhrizlah penyebab utama mengapa rakyat mempertikai integriti UMNO. Jika pemimpin seperti Mukhriz mempertahankan Najib sebagaimana Najib mempertahankan Dr Mahathir dalam kes Perwaja dan 'Team A Team B' dulu, sudah tentu tidak timbul pertikaian mengenai integriti terhadap UMNO.

Contohnya, Mukhriz bertanya soal 1MDB dan dana RM2.6 bilion pada perwakilan UMNO. 

Wajarkah bertanya pada mereka? Padahal, Mukhriz boleh ajukan pertikaiannya di dalam mesyuarat MT UMNO, bukan?

Malah jika tidak berpuas hati, Mukhriz boleh mengatur pertemuan dengan Najib berpuluh-puluh kali untuk bertanya tentang soal RM2.6 bilion kerana dana itu diberikan kepada Presiden UMNO, bukan pada perwakilan. Rasanya, Mukhriz pun boleh berjumpa dengan Arul Kanda untuk menjawab pelbagai persoalan di kepalanya tentang 1MDB, bukan?

Mengapa Mukhriz tidak berbuat demikian? Mengapa perlu tanya pada perwakilan yang tidak tahu apa-apa? Mengapa tidak tanya pada yang tahu mengikut saluran yang betul? Kerana mahu menjatuhkan Presiden UMNO seperti bapanya? Cakaplah terus-terang...

Sekiranya Mukhriz kenal erti 'MELAYU', saya sangat yakin beliau arif tentang budi bahasa dan pantang anak Melayu nusantara menderhaka. Mungkin darah yang mengalir di tubuh Mukhriz belum cukup Melayu untuk bertindak seperti anak Melayu.

Justeru itu, dalam penulisan panjang lebar saya kali ini, selaku seorang ahli UMNO yang masih hormat dan sayang pada potensi yang ada pada Mukhriz selaku pemimpin pelapis parti, saya benar-benar berharap agar Mukhriz bermuhasabah diri dan berdiri di depan cermin selama mungkin. Teropong diri sendiri terlebih dahulu.

Saya sayangkan UMNO sebagaimana Mukhriz sendiri sayangkan UMNO. Sayangkan UMNO bukan dengan cara kurang ajar, tapi dengan cara berhemah sebagaimana yang dianjurkan Islam. Harap Mukhriz kembali ke landasan yang sepatutnya demi survival agama, bangsa dan negara, insyaallah...

Fikir-fikirkanlah...

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgzVudmZWdCrMA9dc2Qu1fh6XZi4W1MmA7Gur9jv8OvbLD9TImEMP-GDLX1OtR4WNRoFEJJqWQW7mjSvFbuceZEdyVmPU_B690RtOEzK-XcjI-uGHYCBY-YPyca_ri0YyYyVwfomb7Vv2A/s1600/Debat+8.jpg
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment