Tuesday, August 04, 2015

Mesyuarat Bahagian Platform Terbaik Untuk Menangkis Fitnah, Kukuhkan Parti

4 Ogos 2015, Kuala Lumpur : Maklumat yang diterima di zaman media sosial ini diakui amat mudah sekali dan sekiranya diterima secara bulat-bulat tanpa diselidiki kesahihannya terutama yang berbaur sensasi, pasti akan menimbulkan satu suasana yang mampu menggangu-gugat bukan sahaja keutuhan parti malah membawa kepada perpecahan, demikian menurut Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof.
Muhammad-Pehimi-Yusof-Jerteh-Terengganu-UMNO-BN
Sehubungan itu, beliau berpendapat mesyuarat perwakilan UMNO bahagian yang akan berjalan ini mampu menjadi medan yang terbaik untuk pemimpin setempat dan ahli bersama-sama mencari formula terbaik menangkis segala fitnah yang dilemparkan kepada parti dan kerajaan dan seterusnya mampu memperkukuhkan parti.

“Mesyuarat ini bukan semata-mata rutin tahunan parti, tetapi ia akan kekal menjadi gelanggang keramat untuk setiap dari kita mengemukakan pandangan, teguran, cadangan atau apa sahaja buah fikir yang akan mengubah dan melonjak aras perjuangan kita.

“Seperti mana matangnya parti kita pada usia, saya yakin begitu jua matangnya ahli parti untuk memikul tanggungjawab mempertahankan parti. Tidak perlu mengikut rentak pembangkang yang memang suka menyebarkan sesuatu berita sisi negatif parti kita ini.

“Kita tidak perlu menjadi penyampai berita mereka, kerana kita sepatutnya mencari formula memperkuat serta mempertahankan parti, bukannya seperti menjadi ‘nasi tambah’ parti pembangkang,” katanya kepada UMNO-Online.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Terengganu itu lagi, sebagai jentera parti, setiap ahli perlu memperkemaskan barisan dengan menjawab segala isu dengan fakta yang telah diberikan supaya rakyat nampak apa yang dibawa oleh pembangkang hanyalah persepsi semata-mata.

“Apa yang penting, input yang diperbincangkan perlulah menjurus kepada keutuhan dan kekuatan parti, perbaiki kelemahan yang ada supaya parti kuat.

“Yang nyatanya, mesyuarat itu mampu menyatupadukan sesama ahli bagi mengukuhkan lagi parti supaya fokus yang utama kini adalah kelangsungan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 nanti,’ ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh itu lagi.

Beliau juga mengharapkan agar mesyuarat yang akan dilaksanakan khususnya di Terengganu dapat berjalan lancar seiring dengan kehendak aturan mesyuarat dan perlembagaan parti.

Tempoh bersidang Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian bermula sejak 27 Julai lalu hingga 31 Ogos ini.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment