Monday, August 17, 2015
Muhyiddin Patut Pergi Rumah Arul Kanda Setiap Hari..
EDITOR MENULIS...
17 OGOS 2015
Melihat apa yang berlaku di dalam UMNO di saat ini telah membuat saya
terkenang tentang apa yang berlaku di dalam sejarah parti keramat
bangsa itu yang telah berdekad-dekad lamannya diuji sebagai tunjang
utama dalam mengharungi persada politik negara. Goyah UMNO, maka
goyahlah Malaysia.
Sebelum ini, UMNO telah menyaksikan pelbagai kisah di kalangan pemimpin
atasan parti khususnya mengenai perebutan jawatan dan kuasa yang berlaku
di dalamnya. Selalunya, UMNO akan bergoncang hebat jika terdapat
perebutan jawatan melibatkan jawatan Presiden.
Ketika UMNO hendak ditubuhkan dulu, berlaku juga perebutan kuasa.
Akibatnya, perpaduan umat Melayu berpecah buat pertama kalinya setelah
bersatu, melahirkan sebuah parti politik yang bernama PAS.
Ketika itu, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra dicabar oleh pengasas
PAS, Allahyarham Ustaz Ahmad Fuad Hassan. Ahmad Fuad tewas kepada Tunku
Abdul Rahman dan menubuhkan PAS kemudiannya. Sejarah ini, jika ditanya
pada puak PAS sekarang, sudah tentu dinafikan. Tapi orang PAS lama masih
ingat apa yang berlaku...
Presiden UMNO paling kerap disanggah dan dicabar jawatannya ialah Tun Dr
Mahathir Mohamad. Beliau banyak kali didesak untuk meletak jawatan.
Namun sebagaimana maklum, beliau tidak meletak jawatan sebagaimana yang
didesak.
Malah pada satu-satu keadaan, biarpun UMNO pernah diisyhtihar sebagai
sebuah pertubuhan yang tidak sah, Dr Mahathir tetap tegar mahu memegang
jawatan sebagai Presiden UMNO. Mana mungkin orang UMNO dapat melupakan
detik hitam itu, bukan?
Pada Jun 1987, seramai 11 orang ahli UMNO memohon suatu relif termasuk
suatu pengisytiharan bahawa pemilihan calon yang menang semasa
Perhimpunan Agung UMNO April 1987 sebagai terbatal kerana didakwa
bertentangan dengan perlembagaan parti.
Siapa yang menang dalam pemilihan yang dikatakan tidak sah itu? Untuk
rekod, pada tahun itu, Dr Mahathir menang tipis sebanyak 43 undi ke atas
Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), iaitu 761 berbanding 718 undi untuk
jawatan Presiden UMNO.
Tidak tahulah saya sama ada Dr Mahathir ketika itu mendengar suara
akar umbi atau tidak, tapi tindakannya benar-benar mengejutkan ramai
pihak apabila bertindak 'menamatkan perkhidmatan' Ketua Hakim Negara
ketika itu, Tun Salleh Abas.
Tun Salleh Abas yang ketika itu bertindak mengikut lunas undang-undang
telah mengharamkan UMNO dan mungkin tindakan itulah yang 'menamatkan
khidmat'nya. Sebenarnya, ramai pihak yang mendokong demokrasi ketika itu
menyokong keputusan yang dibuat Tun Salleh Abas. Ia menguatkan lagi
desakan kepada Dr Mahathir untuk meletak jawatan.
Akibat pengharaman UMNO itu jugalah maka Dr Mahathir secara teknikal
berjaya 'dipaksa' mahkamah untuk turun sebentar dari kerusi Perdana
Menteri dan dipangku oleh Tan Sri Ling Liong Sik sementara menunggu
'UMNO baru' lahir ke dunia.
UMNO huru-hara ketika itu. Ia bukan saja memperlihatkan perebutan kuasa
di antara dua individu dalam UMNO, namun ia juga telah menimbulkan kesan
yang teruk pada perpaduan parti sehingga menyebabkan lahirnya sebuah
lagi parti serpihan, Semangat 46, yang diketuai oleh Ku Li.
Sebagai seorang yang sebelum ini kononnya mengaku 'sayang' dan 'cinta'
pada UMNO, nampaknya tindakan Dr Mahathir yang merupakan Presiden yang
"diragui' kesahihannya dilihat lebih menjurus kepada sayangkan jawatan
dan kuasa yang sedang dimilikinya.
Itu cerita lama. Untuk cerita baru, saya fikir ramai yang tahu
tentang apa yang dilakukan Dr Mahathir terhadap Datuk Seri Anwar
Ibrahim. Untuk keterangan secara terperinci, sila ke Penjara Sungai
Buloh untuk menemuramah bekas Timbalan Presiden UMNO yang sedang
merengkok di situ.
Dan sekarang, berlaku lagi pertembungan di antara dua pemimpin UMNO yang
melibatkan Presiden dan Timbalan Presiden parti. Meskipun hanya dituduh
dengan fakta rekaan, diubah suai dan dipengaruhi propaganda pihak
tertentu, Timbalan Presiden UMNO dilihat sengaja menjadikan 'peluang'
itu untuk merebut kerusi Presiden.
Memberikan alasan kononnya 'berjuang atas kebenaran demi rakyat',
platform merasmikan persidangan UMNO di beberapa bahagian menyaksikan
Timbalan Presiden UMNO sudah menunjukkan 'belang'nya yang sebenar
terhadap Presiden parti. Tidak habis-habis disebut tentang 1MDB dan
RM2.6 bilion...
Umumnya, sudah berbuih mulut dijelaskan tentang 1MDB. Yang terbaru, CEO
1MDB, Arul Kanda Kandasamy pun telah menjelaskan petualang tohmahan
terhadap GLC tersebut yang kononnya dikatakan 'tidak difahami' oleh
Timbalan Presiden UMNO itu.
Pada pandangan saya, memandangkan beliau sudah tidak sesibuk dulu,
apa kata beliau berkunjung ke pejabat Arul Kanda setiap hari, menelaah
dan mendengar sendiri isu sebenar mengenai 1MDB dari CEO itu. Duduk di
situ setiap hari hingga faham sefaham-fahamnya.
Tapi kalau Timbalan Presiden UMNO itu malas dan sebenarnya 'tidak mahu
faham' isu berkenaan, maka tidak payahlah menyibukkan diri. Dan tidak
perlulah bercakap atau mempersoal tentang isu yang dia sendiri tidak
faham kepada perwakilan UMNO yang mereka pun tidak bekerja dengan 1MDB!
Sepatutnya, sewaktu beliau berjawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau
sepatutnya meneliti dan berusaha memahami isu berkenaan dengan baik.
Dialah yang sepatutnya menerangkan kebenaran tentang 1MDB. Bukan dia
yang bertanya pada perwakilan yang tidak tahu pun apa itu 1MDB.
Berkenaan RM2.6 bilion itu pada pandangan saya, ia melibatkan masalah
dalaman UMNO. Justeru itu, selaku orang nombor 2 parti, Timbalan
Presiden UMNO boleh membuat laporan kepada Lembaga Disiplin UMNO dan
mengarahkan mereka menyiasat mengenai isu tersebut.
Namun, sekiranya Timbalan Presiden UMNO berbuat demikian, jangan lupa
pula buat laporan tentang bekas-bekas Presiden UMNO yang sebelum ini
menerima dana politik berpuluh-puluh bilion sejak merdeka.
Jangan lupa diselitkan nama Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun
Hussein Onn, Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi selain nama
Mohd Najib Tun Abdul Razak. Bukan apa, jika dicicirkan nama-nama itu,
nampak sangat Timbalan Presiden nak jatuhkan Presiden sahaja, bukan
berjuang atas kebenaran, bukan? Boleh Tan Sri?
Tapi... yalah.. itu hanya sekadar pandangan saya...
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment