Saturday, August 15, 2015
Najib Umum Penubuhan Jawatankusa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik
14 Ogos 2015, Putrajaya : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) bagi merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif.
Beliau berkata JKNMPP akan menghasilkan pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti melalui pembaharuan dan penambahbaikan undang-undang yang diperlukan dalam tempoh setahun, dan seterusnya dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
Buat masa ini, tidak ada peraturan mengenai pembiayaan politik yang boleh menentukan sesuatu itu salah atau tidak, walaupun terdapat beberapa peraturan mengenai perbelanjaan pilihan raya.
“Pelan ini diharap akan meningkatkan keyakinan bukan sahaja kepada anggota parti-parti politik malah rakyat dan generasi akan datang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Najib berkata JKNMPP akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Paul Low manakala seorang lagi menteri di JPM Datuk Seri Idris Jala sebagai timbalannya.
Institut Integriti Malaysia (IIM) akan bertindak sebagai Pusat Rujukan dan Rundingan JKNMPP dengan bantuan sekretariat, dan peruntukan disediakan oleh Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) JPM.
Beliau berkata JKNMPP ditubuhkan bagi menentukan proses konsultatif di semua peringkat dan mengambil kira pandangan semua pihak.
JKNMPP akan dianggotai wakil parti-parti politik, tokoh masyarakat, ahli akademik, pemikir, agensi-agensi kerajaan berkaitan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan termasuk generasi muda, katanya.
“JKNMPP akan menimbang semua aspek peraturan pembiayaan politik termasuk perubahan institusi, pemantauan serta penguatkuasaaan undang-undang dan peraturan baru,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata JKNMPP akan menjadi penasihat kepada kerajaan dalam hal pembiayaan politik berintegriti.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment