Wednesday, August 19, 2015
Pas-PKR Pernah Sepakat Pilih Ku Li Jadi PM Sementara
Pas akhirnya mendedahkan apa yang ‘disenyapkan’
selama ini tentang pendirian parti itu bersama PKR untuk melantik Tengku
Razaleigh Hamzah sebagai Perdana Menteri sementara sebelum memberi
laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya memenangi Pilihan Raya
Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, kedua-dua parti
sepakat memilih Ahli Parlimen Gua Musang itu dengan memberi tempoh
menerajui tampuk pemerintahan negara tidak kurang daripada dua tahun dan
tidak melebihi tiga tahun.
Sejurus tempoh itu berakhir, jelas beliau, jawatan Perdana Menteri akan diserahkan kepada Anwar yang juga Penasihat PKR.
Mustafa yang juga bekas Setiausaha Agung Pas berkata, keputusan itu
dibuat dalam perjumpaan antara kepemimpinan tertinggi Pas dan PKR di
sebuah hotel di ibu negara beberapa bulan sebelum PRU-13.
Menurutnya, dalam perbincangan itu, Pas diwakili oleh bekas
Mursyidul Amnya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; timbalannya
yang kini Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din; Presiden, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang; bekas timbalannya, Mohamad Sabu; Setiausaha Politik
kepada Presiden Pas, Dr. Syamsuri Mokhtar serta beliau sendiri.
Jelas beliau, PKR pula diwakili Anwar; Setiausaha Agung parti itu,
Datuk Saifuddin Nasution serta dua orang lagi pemimpinnya, Datuk Johari
Abdul dan Dr. Abdul Rahim Ghouse.
“Jadi, saya nak bagi senario sebenar, ini ‘untold story’ yang
berlaku. Saya tak pernah cerita lagi perkara ini dan hari ini saya rasa
satu kewajipan untuk saya beritahu berdasarkan kenyataan Penasihat DAP,
Lim Kit Siang,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perhubungan Pas
negeri di sini hari ini.
Pendedahan itu bagi menangkis dakwaan Kit Siang kononnya Presiden
Pas menolak Anwar sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang
memenangi pilihan raya umum itu.
“Saya nak beritahu tahu Kit Siang, hentilah berbohong sebab Pas tak pernah tolak Anwar jadi Perdana Menteri.
“Apa yang disebut Kit Siang itu, saya tak tahu apa tujuan dia dan
selama ini dia serang Presiden Pas macam-macam. Janganlah sampai
peringkat berbohong kepada rakyat, tidak bagus begitu,” ujarnya.
Mustafa mendakwa, berikutan pertemuan itu, pihaknya menerima respons
positif daripada Tengku Razaleigh yang bersetuju menerima tawaran untuk
menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri sekali gus menyertai
pakatan pembangkang.
Katanya, keutamaan diberi kepada Tengku Razaleigh sebagai Perdana
Menteri berdasarkan beberapa faktor termasuk ketokohan, pengalaman yang
luas dan prestasi cemerlang dalam politik selain menghormatinya sebagai
pemimpin lebih berusia daripada Anwar.
Menurutnya, beliau mempunyai bukti kukuh mengenai persetujuan Pas
melantik Ahli Parlimen Gua Musang itu sebagai Perdana Menteri
berdasarkan ramai saksi daripada kedua-dua belah pihak yang hadir dalam
perjumpaan tersebut.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment