Thursday, August 20, 2015

Peletakan Jawatan AJK PAS Shah Alam Sudah Dijangka - Setiausaha

SHAH ALAM : Peletakan jawatan beramai-ramai ahli jawatankuasa (AJK) peringkat PAS Shah Alam sudah dijangka berdasarkan keadaan politik semasa, demikian menurut Setiausahanya Mohd Shah Sapiei.

Justeru ujarnya, AJK yang sedia ada sudah melakukan persiapan rapi untuk  memastikan pentadbiran parti serta kesinambungan aktiviti dan perjuangan parti dapat terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

"Saya sebagai Setiausaha PAS Shah Alam mengumumkan bahawa senarai pemangku-pemangku jawatan yang dikosongkan di PAS Shah Alam telah pun diserahkan kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor (BPPNS) sebaik sahaja perbincangan berkenaannya bersama Ahli-Ahli Jawatankuasa yang tidak meletakan jawatan dan Ketua-Ketua Cawangan dari seluruh Shah Alam selesai malam tadi.

"Mesyuarat mengambil ketetapan secara konsensus untuk penama-penama tersebut dicadangkan kepada BPPNS untuk kelulusan.

"Kami menjangkakan kelulusan daripada BPPNS akan diperolehi pada awal pagi ini.

"Oleh itu, saya sekali lagi menegaskan tidak ada apa-apa kelompangan dalam kesinambungan pentadbiran parti di semua peringkat di Shah Alam pada bila-bila masa pun samada sekarang atau dimasa akan datang," katanya melalui satu kenyataan di laman sosial Facebook.

Menurut beliau lagi proses yang sama juga sedang berlaku diperingkat Dewan Muslimat PAS Shah Alam.

Manakala di Dewan Pemuda pula, pengambilalihan pimpinan pemuda sudah berlaku lebih awal dan Dewan tersebut berjalan seperti biasa.

Beliau juga mengingatkan penyokong PAS supaya tidak perlu bimbang mengenai peletakan jawatan yang berlaku.

"Semua ahli dan penyokong PAS di Shah Alam dinasihatkan supaya tidak perlu khuatir atau bimbang kerana keadaan terkawal dan diurus dengan cara yang terbaik di semua peringkat," katanya lagi. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment