Thursday, August 27, 2015
Pemerolehan Aset ATM Diteruskan Walau Hadapi Cabaran Ekonomi Global - Hishammuddin
KUALA LUMPUR : Pemerolehan aset Angkatan Tentera
Malaysia(ATM) di bawah Rancangan Malaysia ke-11 diteruskan walaupun
negara menghadapi cabaran ekonomi global.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini
antara lain termasuk menaik taraf helikopter Sikorsky S61A-4 ‘Nuri’,
pesawat Hercules C-130, Korvet Kelas Laksamana dan pemerolehan aset lain
merangkumi ketiga-tiga sayap ATM.
“Kita tak nafikan bahawa situasi ekonomi dunia, serantau dan negara
cukup mencabar tetapi…saya yakin dengan perancangan rapi dilakukan
kementerian dan ATM kita dapat hadapi cabaran ini.
Ini takkan jejaskan peranan utama ATM iaitu memastikan keselamatan
Negara dan juga moral serta kebajikan anggota dan veteran kita, tetap
diberikan keutamaan,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan
anugerah cemerlang pendidikan kepada anak anggota ATM di sini, hari ini.
Majlis itu menyaksikan 230 anak anggota ATM di Lembah Klang yang
cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan 3 dan Sijil Pelajaran Malaysia
menerima anugerah.
Dalam perkembangan sama, Hishammuddin menarik perhatian bahawa beliau
akan menerima kunjungan Menteri Pertahanan Perancis Jean Yves Le Drian
pada Selasa ini antara lain dijangka membincangkan pemerolehan pesawat
tempur pelbagai guna (MRCA) syarikat Dassault Aviation dari Perancis.
Beliau berkata keputusan mengenai pemerolehan aset itu yang sebelum
ini di senarai pendek bagi menggantikan jet MiG-29, bergantung kepada
pakej kewangan yang ditawarkan, selain kelulusan akhir daripada
Kementerian Kewangan.
“Kementerian dalam hal ini, akan melihat dari segi keperluan dan cuba mendapatkan pakej kewangan terbaik,” katanya.
Pada Mac 2013, Malaysia menyenarai pendek lima jet tempur antaranya
Eurofighter Typhoon buatan konsortium Eropah terdiri BAE Systems, EADS
dan Finmeccanica; Rafale keluaran Dassault Aviation serta F/A 18 dari
Boeing.
Terdahulu, beliau turut melancarkan dokumentari ‘Helicopter Heroes’
yang menceritakan mengenai kegigihan kru dan juruterbang helikopter
‘Nuri’.
Dokumentari berdurasi sejam itu akan ditayangkan di saluran Astro 555
atau 575 History Channel Asia pada Ahad, 10 malam dan Isnin pada pukul 6
pagi, 11 pagi dan 3 petang.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment