Thursday, August 27, 2015
SKMM Sekat Laman Sesawang Sebar Maklumat Bersih 4
CYBERJAYA : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) menyekat mana-mana laman sesawang yang mempromosi, menyebarkan
maklumat dan menggalakkan orang ramai menyertai perhimpunan haram Bersih
4.
Ini kerana, perbuatan itu boleh mengganggu-gugat kestabilan negara, kata SKMM dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut SKMM langkah menyekat laman sesawang itu juga lanjutan
daripada kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN)
berhubung Bersih 4 baru-baru ini.
KDN menyatakan perhimpunan Bersih 4 didapati bergiat secara tidak sah
dan mencetuskan kegelisahan serta membangkitkan kebimbangan orang ramai
khususnya rakyat pelbagai kaum, agama dan keturunan di negara ini.
“Bersih 4 juga didapati menyebarkan propaganda untuk menghasut rakyat
bagi tujuan negatif terhadap kerajaan dengan mengedarkan
risalah-risalah tertentu yang boleh mendatangkan keburukan,” kata SKMM.
SKMM berkata pelbagai kegiatan Bersih 4 juga memberi kesan buruk kepada imej negara.
“Bahkan, Bersih 4 boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam,
keselamatan, kemakmuran ekonomi serta kedaulatan negara selain
menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia,” kata SKMM.
Sehubungan itu, SKMM mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati
dalam berkongsi maklumat di laman-laman sesawang dan media sosial
terutama kandungan yang boleh menyalahi mana-mana undang-undang.
Suruhanjaya itu juga meminta orang ramai membuat aduan kepadanya jika
mempunyai maklumat mengenai laman sesawang dan media sosial yang
menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan kestabilan negara,
ketenteraman awam dan kestabilan ekonomi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment