Monday, August 17, 2015

Perdana Menteri Sifatkan Dakwaan Mahathir Tidak Munasabah

UMNO bukan pertama kali berdepan dengan kemelut dalaman, malah pernah berdepan lebih hebat dan dahsyat pada penghujung 80-an yang mana Presiden UMNO hanya menang dengan kelebihan 41 undi dalam pemilihan parti berkenaan. Demikian disuarakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, kemelut yang berlaku ketika itu turut mengakibatkan parti itu terpaksa mewujudkan `UMNO baharu' dan berdepan kekalahan dengan majoriti besar ketika pilihan raya kecil di Johor Baharu.

Bagaimanapun, beliau melahirkan keyakinan bahawa parti itu akan kembali pulih dan dapat mengharungi kemelut yang melanda ketika ini.

Sehubungan itu, menurutnya, UMNO hari ini dilihat lebih kuat biarpun sedang berdepan kemelut kerana parti itu masih terus bertahan selain mendapat sokongan majoriti rakyat.

Malah, beliau berkata, seluruh ahli-ahli UMNO diseru supaya melahirkan rasa cinta dan kasih kepada parti itu sekali gus bersama-sama berjuang memperbetulkan keadaan.

Dalam pada itu, ujar beliau, setiap ahli UMNO sama ada yang berjawatan selaku ketua, timbalan atau jawatankuasa bahagian seharusnya tahu bagaimana untuk membawa diri masing-masing dalam menangani kemelut dalaman parti.

"Dalam parti kena disiplin, tanggungjawab bersama, jaga kerahsiaan parti. Semuanya ada adab dan disiplinnya."

"Sebab itu bagi saya perbezaan dalam parti itu adalah rahmat jika diuruskan dengan adab dan disiplin parti," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di Pulau Pinang, semalam.

Dalam perkembangan yang sama, tegas beliau, adalah menjadi kewajipannya untuk memperbetulkan segala fitnah dan persepsi negatif terhadap UMNO yang timbul dalam kalangan rakyat yang berpunca daripada kritikan tidak munasabah sesetengah pihak.

Menyentuh mengenai kritikan terbaharu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung perbelanjaan pilihan raya umum sebanyak RM10 juta sewaktu era beliau, Najib berkata, kenyataan bekas Presiden UMNO itu sama sekali tidak munasabah.

"Sebab jika diikutkan deposit untuk calon pilihan raya umum bagi 193 kawasan Parlimen ketika era Dr. Mahathir sekali pun kira-kira RM41 juta."

"Peruntukan untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak RM50,000 manakala setiap Parlimen pula RM100,000. Itu tidak termasuk perbelanjaan lain seperti bahan-bahan kempen yang sudah semestinya melebihi RM10 juta," katanya.

Jelasnya, beliau sememangnya bersedia dikritik oleh mana-mana pihak namun kritikan itu perlu logik, munasabah serta rasional.

"Kalau tidak ada semua perkara itu maka rosaklah kita, dan kita juga telah mengelirukan orang ramai," katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment